PENYERANG Liverpool, Luis Diaz (kanan) berebut bola dengan pemain tengah Bayern Munich, Arijon Ibrahimovic pada perlawanan malam tadi. FOTO AFP
PENYERANG Liverpool, Luis Diaz (kanan) berebut bola dengan pemain tengah Bayern Munich, Arijon Ibrahimovic pada perlawanan malam tadi. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Pengurus, Jurgen Klopp mengakui, benteng pertahanan Liverpool perlu meningkat atau mereka akan berdepan masalah sebenar apabila musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula, dua minggu lalu.

Mereka tewas 3-4 di tangan Bayern Munich, malam tadi dan dibolosi 10 gol dalam empat perlawanan jelajah pramusim.

Sebahagian besar gol itu membabitkan kesilapan individu sama ada perebutan bola tinggi susulan situasi bola mati atau taktikal, menyebabkan Klopp melalui penerbangan panjang dari Singapura dengan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.

Walaupun jelajah pramusim bukan petunjuk prestasi sebenar, empat gol dibolosi mereka itu sudah pasti menjadi perhatian Klopp.

Pemain sayap Bayern, Serge Gnabry dua kali memanfaatkan kelompongan benteng the Reds di sebelah kanan dengan menjaringkan satu gol dan mengumpan kepada Leroy Sane untuk satu lagi gol.

Ia berbalik kepada prestasi terkini Trent Alexander-Arnold yang dilihat lebih selesa bersama bola ketika menyerang, tetapi memberi kesan ketika bertahan.

Bek tengah, Joel Matip turut bergelut dengan prestasi pada perlawanan malam tadi.

"Bagi gol pertama yang kami lepaskan, Trent dan Joel sepatutnya bertindak lebih baik," kata Klopp.

"Kedua-duanya berdiri dengan kedua-dua kaki. Saya tidak fikir, hantaran itu tidak boleh dielakkan.

"Ia berlaku sekitar setengah jam dalam perlawanan dan kami sudah berasakan tekanannya. Situasi sama berlaku pada babak kedua membabitkan Joe Gomez dan Ibou Konate.

"Ia bukan berkaitan kelajuan, tetapi mengenai waspada, periksa serta mengawasi situasi dan dalam perlawanan bola sepak, tiada waktu rehat."

Klopp berkata, dia turut melihat beberapa perkara positif dan jelas, latihan jelajah pramusim bukan masanya untuk panik.

Liverpool ketika ini turut bimbang dengan pemain yang ditandatangani pada musim panas ini, Alexis Mac Allister yang menjerit kesakitan selepas berlaga dan terpaksa meninggalkan padang sebelum rehat.

Namun, Klopp mengurangkan kebimbangan dengan menyatakan keadaan lutut pemain tengah itu tidak teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2023 @ 11:33 AM