SAFAWI dan Cools tersenarai dalam kesebelasan Skuad  Impian Asean Liga Thailand.
SAFAWI dan Cools tersenarai dalam kesebelasan Skuad Impian Asean Liga Thailand.
Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tonggak Harimau Malaya Dion Cools dan Safawi Rasid mencipta sensasi di Thailand apabila diiktiraf dalam kesebelasan utama 'Pasukan Impian Asean' Liga Thailand bagi musim ini.

Situasi terbabit dikongsikan laman rasmi Thai League menerusi satu poster yang menampilkan kelibat dua pemain kebangsaan itu. Dalam poster terbabit, Cools membarisi benteng pertahanan sementara Safawi mengisi bahagian sayap kiri.

Mengikut rekod, Cools boleh dianggap sebagai antara pemain yang menyerlah selepas menjadi tonggak buat Buriram United meraih gelaran 'treble' pada musim ini.

Menyertai Buriram United dari kelab Republik Czech, Jablonec, pemain berusia 27 tahun itu membantu pasukan itu memenangi Liga 1 Thai sekali gus layak beraksi di Liga Juara Juara Asia (ACL) bagi musim 2023-24.

Selain itu, dia turut merangkul Piala Liga Thai dan juga Piala FA Thai bersama pasukan terbabit.

Safawi pula pernah bersama Ratchaburi FC dan beraksi dalam 16 kali perlawanan dengan meledak satu gol ketika membantu kelabnya menewaskan Chonburi 2-1.

Bagaimanapun, 'jodohnya' bersama Ratchaburi tidak panjang selepas dia kembali ke Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 4:01 PM