VAN Dijk (dua kanan) dilihat cuba memperkatakan sesuatu kepada pengadil. FOTO AFP
VAN Dijk (dua kanan) dilihat cuba memperkatakan sesuatu kepada pengadil. FOTO AFP
AFP

London: Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk didakwa bertindak tidak wajar selepas dia dibuang padang di Newcastle, Ahad lalu.

Van Dijk dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran terhadap pemain Newcastle, Alexander Isak pada separuh masa pertama yang menyaksikan Liverpool melakar kemenangan 2-1 pada perlawanan di St James' Park itu.

Bek tengah Belanda itu berang dengan hukuman berkenaan dan pada mulanya enggan meninggalkan padang apabila dilihat bertengkar dengan pengadil perlawanan, John Brooks.

Van Dijk kini digantung satu perlawanan sekali gus menyebabkannya tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang Aston Villa, hujung minggu ini.

Tetapi dia mungkin menerima hukuman lebih berat selepas berdepan pertuduhan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) kerana menggunakan bahasa kesat atau menghina terhadap pegawai perlawanan.

"Virgil van Dijk didakwa melanggar Peraturan FA E3.1 pada perlawanan Liga Perdana antara Liverpool menentang Newcastle United, pada Ahad, 27 Ogos.

"Pemain pertahanan itu didakwa bertindak dengan cara yang tidak wajar dan/atau menggunakan kata-kata kesat dan/atau menghina terhadap pegawai perlawanan," kata FA dalam satu kenyataan.

Van Dijk mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk menjawab pertuduhan itu.

Bercakap sejurus selepas perlawanan dengan Newcastle, bos Liverpool, Jurgen Klopp menyelar hukuman dikenakan ke atas pemain pertahanan itu.

"Saya tidak fikir ia adalah kad merah. Hampir tiada sentuhan, sangat sedikit, tetapi apa yang boleh saya katakan? Saya tidak boleh mengubahnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2023 @ 9:02 AM