Virgil van Dijk. FOTO File AFP
Virgil van Dijk. FOTO File AFP
AFP

London: Virgil van Dijk berjaya menjalani pembedahan lutut dan akan meneruskan proses pemulihan menurut juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hari ini.

Kelab tidak dapat menyatakan berapa lama pemain pertahanan tengah berusia 29 tahun terpaksa berehat.

Van Dijk, yang menjadi tonggak kepada kejayaan Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara pada 2019 dan juga menjulang takhta liga musim lalu, mengalami kecederaan lutut serius selepas rempuhan keras oleh penjaga gol Everton, Jordan Pickford awal bulan ini.

"Virgil van Dijk menjalani pembedahan pada kecederaan ligament lutut yang dialami pada awal bulan ini," menurut kenyataan kelab itu.

"Pembedahan pemain pertahanan Liverpool itu dilakukan di London dan berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

"Van Dijk kini akan memberi tumpuan penuh dalam proses pemulihannya dengan sokongan Bahagian Perubatan Reds.

"Tiada jangka masa ditetapkan bagi pemain Belanda itu untuk kembali beraksi bersama pasukan."

Ketiadaan pemain kebangsaan Belanda itu menimbulkan masalah di barisan pertahanan tengah Liverpool.

Joel Matip terlepas tiga perlawanan lalu kerana kecederaan dan memaksa tugas pertahanan tengah diberikan kepada Fabinho yang turut dilihat mengalami kesakitan pada separuh masa pertama dalam perlawanan Liga Juara-Juara berdepan Midtjylland pada Rabu lalu kerana masalah otot.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2020 @ 9:52 PM