JESUS sedang melalui proses pemulihan. FOTO AFP
JESUS sedang melalui proses pemulihan. FOTO AFP
Agensi

London: Gabriel Jesus sudah kembali berlatih sekali gus memberi harapan kepada Mikel Arteta, dengan penyerang itu menunjukkan proses pemulihan lebih pantas selepas mengalami kecederaan lutut.

Pemain berstatus bintang itu menjalani prosedur pembedahan kecil selepas terpaksa disingkirkan sebelum aksi Perisai Komuniti pada penghujung bulan lalu.

Kecederaan itu dipercayai rentetan kecederaan dialaminya ketika Piala Dunia tahun lalu, namun dia semakin hampir untuk cergas sepenuhnya.

Jesus dilihat menyertai sesi latihan semalam seperti dirakam kamera Sky Sports dengan mengambil bahagian pada sesi pemanas badan sebelum sesi latihan utama.

Terdapat sedikit kemungkinan Jesus akan diletakkan di bangku simpanan untuk perlawanan bertemu Fulham, namun tahap kecergasan dirinya akan terus dipantau.

Arteta mengakui bahawa Jesus perlu menjalani pembedahan kecil agar kecederaannya itu tidak berulang.

"Dia berada dalam keadaan baik. Jelas sekali dia sangat kecewa kerana ia berlaku ketika dia berada dalam prestasi terbaik.

"Tiada sesiapa menjangkakannya dan prosedur kecil perlu dilakukan. Ia adalah keputusan terbaik yang perlu dilakukan untuknya," katanya.

Masalah lutut yang dialami Jesus itu menyaksikannya tidak dapat beraksi sebahagian besar musim lalu apabila terlepas 12 perlawanan Liga Perdana sebelum kembali beraksi pada Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 11:04 AM