HEBERTY juga berpengalaman beraksi bersama di Liga Arab Saudi dan Liga J. FOTO Ihsan Facebook Heberty Fernandes de Andrade
HEBERTY juga berpengalaman beraksi bersama di Liga Arab Saudi dan Liga J. FOTO Ihsan Facebook Heberty Fernandes de Andrade
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Liga Super mungkin lebih teruk dibelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi akan datang apabila kelab itu mengumumkan membawa masuk 'mesin gol' yang pernah mencipta nama di Liga Thailand.

Menerusi Facebook Johor Southern Tigers memaklumkan bahawa JDT membawa masuk bekas pemain Bangkok United, Heberty Fernandes bagi menguatkan lagi jentera serangan skuad Harimau Selatan.

Heberty yang berasal dari Brazil itu bukan pemain 'biasa-biasa' dalam saingan Liga Thailand kerana dia memegang rekod penjaring terbanyak dengan rekod 159 gol membabitkan 249 perlawanan.

Pemain berusia 34 tahun itu sememangnya sudah biasa dengan persekitaran bola sepak Asia Tenggara kerana sebelum ini beraksi bersama Ratchaburi FC dan Muangthong United.

Selain beraksi di Liga Thailand, Heberty juga berpengalaman beraksi bersama di Liga Arab Saudi dan Liga Jepun (J League) sekali gus sudah pasti membantu JDT ketika beraksi di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL),

Sementara itu, pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim juga mengesahkan akan membawa masuk pemain baharu bagi memperkuatkan lagi pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air itu.

"Bagi saya kemungkinan besar akan ada pemain import akan dibawa masuk untuk meningkatkan lagi persaingan dalam pasukan.

"Pada masa sama, turut mahu perbaiki pasukan kami kerana buat masa ini Diogo (Diogo Luis Santo) cedera untuk beberapa bulan. Kami juga tahu untuk lakukan membabitkan pemain import.

"Dalam perancangan itu telah dirancangkan dan sudah kami berbincang dan sedang berunding buat masa ini. Sudah tentu ada agenda untuk perbaiki pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 5:35 PM