PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe. -FOTO Farizul Hafiz Awang
PENGENDALI Selangor FC, Tan Cheng Hoe. -FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe sukar menerima hakikat skuadnya tewas 0-1 di tangan Sri Pahang FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, semalam.

Katanya, kekalahan itu sukar diterima memandangkan skuadnya turut mempunyai peluang menghasilkan jaringan tetapi gagal memanfaatkannya.

"Memang pada babak pertama kita bermain dengan baik dan mendominasi perlawanan serta mencipta peluang tetapi tidak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol.

"Tetapi itulah lumrah dalam perlawanan dan bermain dengan pasukan yang sama kuat kita perlu memenanginya dan akan dihukum pasukan lawan apabila melakukan kesilapan.

"Pada masa sama, bermain pada pusingan kedua adalah cabaran besar dan kita perlu bangkit daripada kekalahan pada perlawanan selepas ini," katanya.

Justeru, Cheng Hoe mahu anak buahnya kembali bangkit daripada kekalahan untuk kekal bersaingan dalam kelompok teratas Liga Super.

Beliau masih percaya dengan kemampuan pemain untuk menjadikan Red Giants beraksi dengan lebih baik dan mencabar pasukan lawan.

Pada perlawanan itu, jaringan tunggal pemain import Tok Gajah, Kevin Ingreso memadam misi Selangor untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 12:43 PM