Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad memuji komitmen pemainnya selepas menewaskan Selangor FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, semalam.

Katanya, kemenangan itu sememangnya dinantikan selepas anak buahnya bekerja keras sepanjang latihan dalam misi melakar kemenangan selepas rehat panjang.

"Alhamdulillah, kita memang menantikan perlawanan ini dan pemain bertungkus lumus serta berusaha 100 peratus untuk beroleh kemenangan.

"Sebenarnya saya yakin menang ke atas Selangor terutama pemain dapat mengekang dua pemain iaitu Faisal Halim dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi," kata legenda bola sepak Singapura itu.

Pada perlawanan itu, pemain tengah dari Filipina, Kevin Ingreso muncul wira apabila jaringan pada minit ke-50 memastikan skuad Tok Gajah mengutip tiga mata di halaman sendiri.

PENGENDALI Sri pahang FC, Fandi Ahmad. -FOTO Farizul Hafiz Awang
PENGENDALI Sri pahang FC, Fandi Ahmad. -FOTO Farizul Hafiz Awang

Kemenangan itu memastikan Sri Pahang dan Selangor berkongsi 34 mata, masing-masing berada di kedudukan ketiga dan kedua liga selepas mengharungi 16 perlawanan.

Mengulas prestasi keseluruhan pada perlawanan itu, Fandi berkata, anak buahnya bermain lebih baik pada babak kedua berbanding hanya menguasai perlawanan pada 25 minit pertama di separuh masa pertama.

Katanya, taktikal yang dirancang juga berhasil dengan kerjasama berpasukan dan semangat juang tinggi yang dipersembahkan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 12:39 PM