MBAPPE dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. FOTO AFP
MBAPPE dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid. FOTO AFP
Reuters

Paris: Kesatuan Kebangsaan Pemain Bola Sepak Profesional Perancis (UNFP) membidas Paris Saint-Germain (PSG) selepas juara Ligue 1 itu mengecualikan Kylian Mbappe daripada jelajah pramusim mereka ke Asia kerana isu kontak yang belum selesai.

Kapten Perancis berusia 24 tahun itu sudah berada dalam senarai untuk dijual oleh PSG, menurut laporan media, selepas hubungan antara kedua-dua pihak bertambah buruk bulan lalu.

Mbappe sebelum ini berkata dia tidak akan memperbaharui kontraknya, yang akan tamat pada penghujung musim depan sekali gus bermakna dia boleh meninggalkan kelab itu secara percuma pada Jun 2024.

Tetapi Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi berkata mereka tidak akan membiarkan Mbappe, penjaring terbanyak liga utama Perancis untuk lima musim terakhir, pergi secara percuma.

"Pemain-pemain ini mesti menikmati suasana kerja yang sama seperti tenaga kerja profesional yang lain," kata UNFP, kesatuan sekerja untuk pemain bola sepak profesional di Perancis, dalam satu kenyataan.

"UNFP ingin mengingatkan pihak pengurusan bahawa memberi tekanan kepada pekerja seperti contohnya melalui kemerosotan suasana kerja mereka dan memaksa meninggalkan atau menerima apa yang majikan mahukan, adalah gangguan moral, yang mana ia dikecam di Perancis.

"Jadi, ya, UNFP berhak untuk mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap mana-mana kelab yang berkelakuan sedemikian," kata kenyataan itu.

PSG sudah memenangi sembilan daripada 11 kejuaraan Ligue 1 terakhir, tetapi kejayaan domestik mereka tidak dapat menandingi kempen Liga Juara-Juara, trofi yang tidak pernah dimenangi oleh kelab Paris itu,

Mbappe dikaitkan dengan perpindahan ke kelab yang sudah muncul juara Eropah sebanyak 14 kali, Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 8:31 AM