JORDI ketika sesi latihan. FOTO FB Johor Darul Ta'zim
JORDI ketika sesi latihan. FOTO FB Johor Darul Ta'zim
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Kapten Johor Darul Ta'zim (JDT), Jordi Amat menegaskan persiapan pasukan itu untuk berdepan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Sabtu ini berjalan lancar dengan latihan intensif disusun ketua jurulatih, Esteban Solari.

Malah katanya, proses pemulihan selepas aksi menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) baru-baru ini tampak tiada masalah dan pemain tidak berdepan kecederaan malah semuanya berada di tahap kecergasan memuaskan sekali gus bersedia menempuh 90 minit perlawanan, Sabtu ini.

"Kami berdepan aksi yang sukar ketika menentang KL City FC, baru-baru ini dan melakar kemenangan yang saya anggap menyuntik lagi motivasi rakan sepasukan untuk meneruskan momentum kemenangan seterusnya dalam saingan liga.

"Untuk kami setiap perlawanan yang diharungi amat penting kerana kami anggap semua pasukan yang menentang JDT adalah pasukan hebat dan sebab itu kami perlu konsisten dan mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi dengan menampilkan corak permainan konsisten.

"Reputasi JDT harus dijaga dan meneruskan momentum kemenangan malah apa yang harus kami lakukan sentiasa fokus bukan hanya dalam 90 minit permainan tapi sebaliknya dan berusaha untuk menidakkan pasukan lawan menguasai permainan," katanya.

Ditanya mengenai kekuatan skuad kendalian K Devan yang bakan tampil dengan corak permainan berbeza dalam usaha ingin menebuskan kekecewaan tewas 0-7 pada aksi pusingan liga, Mac lalu, Jordi tampak enggan memikirkan corak permainan skuad Rusa itu.

Sebaliknya, pemain naturalisasi Indonesia itu lebih mengutamakan prestasi skuad Harimau Selatan berbanding pasukan lawan yang bakal dihadapi kerana di JDT pemain harus beraksi dengan lebih efektif dan tersusun bagi memburu kemenangan.

"Kami akan sentiasa berazam untuk beraksi konsisten untuk mendapat keputusan positif. Malah saya juga berharap Fernando (Forestieri) akan kembali dalam skuad utama selepas pemain itu agak kurang cergas tapi tidak serius kerana misi kami mahu terus mengekalkan rekod tanpa kalah," kata Jordi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 12:03 PM