PEDRINHO belum sedia berpindah ke kelab lain. FOTO/AGENSI
PEDRINHO belum sedia berpindah ke kelab lain. FOTO/AGENSI
Agensi

BARCELONA: Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona kini dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah menyerang Corinthians, Pedrinho.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Corinthians meletakkan harga 25 juta pound (RM121 juta) kepada pemain berusia 20 tahun itu yang dikatakan turut menarik minat Paris Saint-Germain (PSG) dan Shakhtar Donetsk.

Ini bukan kali pertama Barcelona dikaitkan dengan Pedrinho, kerana mereka hanya menunggu persetujuan bersama mengenai kontrak bersama Corinthians.

Pedrinho bagaimanapun dalam temuramah dengan Tifo Football pada Mei lalu tidak menunjukkan sebarang isyarat mahu meninggalkan Corinthians.

"Saya mahu mendapat tempat dalam skuad utama Corinthians, sekurang-kurangnya untuk beberapa musim terlebih dahulu," katanya.

"Tempat saya dalam skuad utama belum lagi terjamin dan saya mahu mengambil sedikit masa di sini sebelum memikirkan untuk berhijrah ke kelab lain."

Pemain muda itu sudah menerima banyak tawaran besar meskipun dia menyatakan tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

"Saya tidak boleh memberitahu anda. Secara jujurnya saya tidak tahu. Saya tidak bersedia untuk meninggalkan Corinthians dan saya tidak mahu pergi lagi buat masa ini apatah lagi ke China.

“Jika saya mahu meninggalkan Corinthians satu hari nanti, saya mahu pergi ke kelab Eropah, itu impian mana-mana pemain Brazil.

Barcelona kerap menjadikan pemain Brazil sebagai sasaran perpindahan apabila membeli Paulinho pada musim panas lalu, sebelum mendapatkan Philippe Coutinho (Januari) dan kemudian Arthur serta Malcom (Julai).

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 3:12 PM