PASUKAN keselamatan meleraikan pergaduhan yang tercetus di tempat duduk penyokong ketika perlawanan Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak. FOTO Tular.
PASUKAN keselamatan meleraikan pergaduhan yang tercetus di tempat duduk penyokong ketika perlawanan Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak. FOTO Tular.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC di Stadium Perak, di sini malam tadi dicemari insiden pergaduhan membabitkan penyokong dua pasukan itu.

Insiden yang terjadi pada aksi separuh masa pertama itu turut tular di media sosial.

Daripada video ditularkan, kejadian berlaku di tempat duduk penyokong dan kelihatan aksi tumbuk-menumbuk antara mereka, sebelum pergaduhan itu berjaya dileraikan pasukan keselamatan.

Difahamkan, pergaduhan antara penyokong tercetus sejak petang apabila tular sebuah video di Twitter @SpskOfficial memperlihatkan kerumunan individu bergasak di hadapan Pusat Akuatik Tuanku Zara berhampiran stadium.

Susulan insiden, kawalan keselamatan dipertingkatkan termasuk polis mengiringi bas pemain selepas perlawanan selesai, selain belasan bas lagi yang membawa penyokong dari Selangor.

Tiada insiden luar jangka yang tercetus selepas perlawanan itu dan keputusan akhir menyaksikan Selangor membenam Perak 4-0.

TANGKAP layar video tular menunjukkan sekumpulan penyokong bergaduh di tempat duduk penyokong ketika aksi separuh masa pertama perlawanan Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak.
TANGKAP layar video tular menunjukkan sekumpulan penyokong bergaduh di tempat duduk penyokong ketika aksi separuh masa pertama perlawanan Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 12:51 AM