NASRULLAH Hanif (kanan) galas tugas mencabar pada aksi bertemu KL City FC, Ahad ini. FOTO Ihsan NSFC
NASRULLAH Hanif (kanan) galas tugas mencabar pada aksi bertemu KL City FC, Ahad ini. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas mencatatkan keputusan kurang memberangsangkan dalam tiga aksi terakhir sebelum ini, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) tidak rela berputih mata pada pertembungan dengan Kuala Lumpur (KL) City FC, dalam aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.

Sebelum ini, Negeri Sembilan sekadar mencatatkan dua keputusan seri iaitu ketika menentang Perak FC di tempat lawan dan Sabah FC di tempat sendiri selain tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC, juga di gelanggang sendiri.

Penolong ketua pasukan, Nasrullah Hanif Johan akui tugas mencabar bakal dihadapi dia dan rakan sepasukan meskipun mempunyai kelebihan untuk mencatat kemenangan kerana beraksi di laman sendiri.

Katanya, skuad bimbingan Bojan Hodak itu telah menunjukan kebangkitan dalam beberapa perlawanan sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan keenam carta Liga Super ketika ini.

"Melihat kepada kedudukan terkini KL City itu menunjukkan satu cabaran besar bagi kami ketika turun berhadapan dengan pasukan berkenaan, Ahad nanti, namun kami akan menggunakan peluang dan kelebihan yang ada untuk mendapatkan kemenangan.

"Pasukan kami tidak boleh keciciran mata dan perlu menang dalam aksi itu untuk mengejar kedudukan yang lebih baik dalam carta liga.

"Untuk itu, semua pemain perlu memberikan komitmen tinggi dalam tempoh 90 minit perlawanan dengan menterjemahkan setiap perancangan jurulatih, bagi mengelak pasukan ketinggalan lebih jauh dalam liga," katanya di sini, hari ini.

Justeru, tonggak pertahanan berpengalaman itu yang setakat ini sudah menjaringkan satu gol, akui kemenangan ke atas KL City perlu direalisasikan skuad Hobin Jang Hobin untuk mempertahankan reputasi yang diraih musim lalu.

"Selain dapat memastikan pasukan mampu terus bersaing dalam liga kompetetif ini, kemenangan ke atas KL City juga akan dapat mengembalikan semula keyakinan diri dan pemikiran positif pemain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 1:07 PM