KIM Swee percaya barisan kejurulatihan sudah tentu ketika ini sedang melakukan tugas mereka bagi mencari formula terbaik. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
KIM Swee percaya barisan kejurulatihan sudah tentu ketika ini sedang melakukan tugas mereka bagi mencari formula terbaik. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Serba tidak menjadi. Itu antara rumusan berkenaan kekalahan 0-2 skuad Harimau Muda kepada Thailand dalam aksi kedua kumpulan Sukan Sea Kemboja 2023 walaupun berjaya mencatatkan kemenangan besar 5-1 ke atas Laos sebelum ini.

Bagi bekas pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee beliau berpandangan antara punca kekalahan pasukan negara kerana skuad gajah perang mempunyai mentaliti yang lebih baik pasukan Harimau Muda.

"Bukan kata kita tidak bernasib baik atau sebagainya, kita harus terima mentaliti pemain kita tidak sebaik Thailand yang sudah bersedia sejak awal ketika perlawanan bermula.

"Kalau kita lihat pada aksi itu, jurang kita dengan Thailand itu sudah tidak jauh. Cumanya dari segi tumpuan pemain kita, cara mereka bersiap sedia ia memihak kepada Thailand.

"Skuad Thailand mempunyai keyakinan yang cukup tinggi, walaupun mereka diberi tekanan oleh pasukan negara tapi mereka masih mampu untuk keluar dari situasi dan berani bermain secara agresif," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Dalam masa yang sama, beliau yang berjaya mengemudi pasukan negara meraih emas di temasya Sukan Sea edisi 2011 juga tidak menolak sikap terlalu yakin untuk menang ke atas Thailand selepas merakamkan kemenangan besar ke atas Laos menjadi punca pemain negara gagal beraksi dengan baik.

Justeru beliau berharap pemain-pemain negara dapat lupakan kekecewaan dalam aksi berkenaan dan memberikan fokus yang penuh ketika menentang Vietnam yang boleh dianggap sebagai penentuan hidup atau mati pasukan negara di temasya dwitahunan itu.

"Pasukan negara perlu lupakan segera dua aksi yang mereka tempuhi sebelum ini. Mereka perlu beri tumpuan penuh kepada aksi yang penting iaitu menentang Vietnam.

"Saya percaya barisan kejurulatihan sudah tentu ketika ini sedang melakukan tugas mereka bagi mencari formula terbaik menentang Vietnam nanti," ujarnya.

Malaysia dijadual bertemu Vietnam pada Isnin sebelum menamatkan aksi kumpulan B menentang Singapura pada Rabu.

Pasukan negara perlu sekurang-kurangnya meraih keputusan seri ketika menentang Vietnam dan meraih kemenangan ke atas Singapura jika mahu menempah slot ke pusingan separuh akhir dalam misi menamatkan kemarau 12 tahun emas kontinjen negara dalam acara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 3:08 PM