MESSI meraih pendapatan tertinggi. FOTO AFP
MESSI meraih pendapatan tertinggi. FOTO AFP
Reuters

London: Lionel Messi adalah atlet dengan bayaran tertinggi di dunia sepanjang tahun lalu, menurut laporan tahunan Forbes sekali gus menyaksikan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu mengatasi bintang NBA, LeBron James dan Cristiano Ronaldo dari Manchester United.

Messi memperoleh AS$130 juta (RM569.8 juta) dalam tempoh 12 bulan berakhir 1 Mei 2022, untuk menduduki senarai 10 atlet dengan bayaran tertinggi, setahun selepas menduduki tempat kedua di belakang petarung MMA Ireland, Conor McGregor.

Bintang Los Angeles Lakers, James menduduki tempat kedua dengan perolehan pendapatan AS$121 juta (RM530.3 juta), memecahkan rekod AS$96.5 juta (RM422.9 juta) untuk pemain NBA yang diciptanya tahun lalu.

Manakala kapten Portugal, Ronaldo memperoleh AS$115 juta (RM504 juta) untuk menduduki tempat ketiga.

Pemain bola sepak Brazil, Neymar AS$95 juta (RM416.4 juta) dan juara NBA tiga kali, Stephen Curry AS$92.8 juta (RM406.7 juta) dari Golden State Warriors melengkapkan kedudukan lima teratas.

Pemain NBA, Kevin Durant AS$92 juta (RM403.2 juta) berada di tempat keenam manakala pemain tenis Switzerland, Roger Federer, yang bermain lima kejohanan pada 2021 sebelum kecederaan lutut menyekat musimnya, berada di tempat ketujuh dengan jumlah pendapatan AS$90.7 juta (RM397.5 juta).

Tiga tempat terakhir dalam senarai itu adalah petinju Mexico, Canelo Alvarez AS$90 juta (RM394.4 juta), juara Super Bowl tujuh kali, Tom Brady AS$83.9 juta (RM367.7 juta) dan Pemain Paling Bernilai Final NBA, Giannis Antetokounmpo AS$80.9 juta (RM354.5 juta).

Forbes berkata pendapatan yang diperolehi itu adalah termasuk semua wang hadiah, gaji dan bonus yang diperoleh dalam tempoh 12 bulan manakala pendapatan di luar lapangan seperti anggaran penajaan dan yuran penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 9:40 AM