RONALDO mengungguli Senarai Individu Kaya Instagram 2023. FOTO REUTERS
RONALDO mengungguli Senarai Individu Kaya Instagram 2023. FOTO REUTERS
Reuters

London: Cristiano Ronaldo sekali lagi meninggalkan pesaingnya apabila pemenang Ballon D'Or lima kali itu dinobatkan sebagai penerima pendapatan tertinggi di Instagram untuk tahun ketiga berturut-turut.

Ronaldo, yang pada Julai lalu disenaraikan sebagai atlet dengan bayaran tertinggi dunia oleh Forbes buat kali pertama sejak 2017 selepas perpindahannya ke Arab Saudi, kini mengungguli Senarai Individu Kaya Instagram 2023.

Senarai itu, yang dikendalikan oleh Hopper HQ, adalah berdasarkan data dalaman dan tersedia secara umum mengenai jumlah yang boleh dicaj oleh setiap pengguna untuk hantaran di Instagram dan YouTube.

Penyerang Portugal itu akan memperoleh AS$3.23 juta (RM14.7 juta) untuk setiap hantaran di Instagram, menurut Hopper HQ kerana dia mempunyai hampir 600 juta pengikut di platform media sosial itu.

Tidak mengejutkan apabila pesaing terdekat Ronaldo adalah pemenang Piala Dunia, Lionel Messi meraih hampir AS$2.6 juta (RM11.8 juta) untuk setiap hantaran.

Ia meletakkan kedua-dua bintang bola sepak itu bukan sahaja mengatasi setiap bintang sukan lain tetapi juga selebriti seperti penyanyi dan pelakon, Selena Gomez, bintang realiti dan jurusolek, Kylie Jenner serta pelakon, Dwayne 'The Rock' Johnson.

Hanya dua atlet lain iaitu pemain kriket India, Virat Kohli dan pemain bola sepak Brazil, Neymar berjaya menduduki 20 kelompok teratas.

Neymar meraih hampir dua kali ganda jumlah yang diraih rakan sepasukannya di Paris St Germain (PSG), Kylian Mbappe untuk setiap hantaran.

"Ronaldo dan Messi bukan sahaja menguasai padang, tetapi juga di ruang lingkup digital kerana jelas sekali mereka mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri berbanding orang biasa," kata pengasas bersama Hopper HQ, Mike Bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2023 @ 8:09 AM