SADDIL (kanan) cuba melepasi pemain Selangor pada perlawanan di Stadium Likas, malam ini. FOTO FB SELANGOR FC
SADDIL (kanan) cuba melepasi pemain Selangor pada perlawanan di Stadium Likas, malam ini. FOTO FB SELANGOR FC
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah FC sekali lagi mempertahankan kubu kuatnya di Stadium Likas apabila menewaskan Selangor FC, 2-1 pada aksi Liga Super, malam ini.

Gol skuad Sang Badak itu terhasil menerusi sepakan penalti Saddil Ramdani pada minit ke-24 dan sepakan percuma kapten, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-64.

Saddil menyempurnakan sepakan penalti selepas selepas Baddrol dijatuhkan di kotak penalti Selangor ketika berdepan asakan pemain pasukan pelawat.

Selangor menyamakan kedudukan 1-1 melalui percubaan Faisal Halim yang terkena palang gol sebelum bola melantun kencang ke bawah dan terus masuk ke gawang Sabah pada minit ke-51.

Bagaimanapun, sepakan percuma Baddrol memastikan Sabah mendahului sehingga wisel penamat.

Secara keseluruhan, kedua-dua pasukan berbalas serangan dan cubaan demi cubaan bermula dari seawal minit pertama permainan sehingga wisel penamat.

Kedua-dua pasukan dilihat sentiasa mencari peluang, namun sikap berhati-hati pertahanan di samping kesilapan percaturan dan gerakan menggagalkan usaha mencipta gol.

Aksi mendebarkan sejak babak pertama bertambah panas sepanjang babak kedua, terutama dengan masa tambahan yang berpanjangan sehingga minit ke-100.

Kemenangan itu memastikan Sabah menambah tiga mata untuk naik ke tangga ketiga carta Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 9:52 PM