HAALAND semakin berbisa sejak menyertai City.
HAALAND semakin berbisa sejak menyertai City.
AFP

Berlin: Pertembungan Manchester City dengan Bayern Munich pada awal pagi Khamis ini bakal menyaksikan Erling Haaland menentang kelab yang cuba menjual ladang untuk membelinya tetapi gagal.

Kekalahan besar Bayern pada peringkat pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) di Manchester bermakna juara enam kali itu perlu mengatasi defisit 3-0 untuk mara ke separuh akhir.

Bayern bukan sahaja perlu lebih menyengat tetapi pada masa sama tidak boleh membiarkan Haaland sesuka hati menembusi barisan pertahanan di Munich sekali gus meranapkan impian mereka.

Walaupun mempunyai rekod cemerlang menentang Bayern - Haaland meledak enam gol dan dua bantuan jaringan dalam lapan perlawanan menentang gergasi Bavaria itu, kemenangan 3-0 minggu lalu adalah yang pertamanya ke atas juara Jerman itu. Dia tewas ke semua tujuh perlawanan kepada Bayern ketika beraksi bersama Borussia Dortmund.

Sejak berpindah ke City, Haaland lebih mengganas dengan mencipta rekod demi rekod sehingga meledak 47 gol dalam 40 penampilan.

Menjelang pertembungan awal pagi Khamis ini, bintang Norway itu mempamerkan magis dengan menyumbat 14 gol dalam enam perlawanan terakhir.

Bayern menjaringkan lapan gol dalam tempoh sama dengan empat daripadanya daripada satu perlawanan ketika menentang Dortmund.

Pemain berprofil tinggi Sadio Mane gagal menjaringkan gol sejak Oktober lalu dan kembali daripada penggantungan satu perlawanan selepas menumbuk muka Leroy Sane susulan kekalahan kepada City namun Serge Gnabry dijangka mengetuai barisan hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 10:09 AM