AKSI gusti Ronaldo yang mengasari Cuellar. FOTO Agensi
AKSI gusti Ronaldo yang mengasari Cuellar. FOTO Agensi
Agensi

Riyadh: Cristiano Ronaldo dilayangkan kad kuning kedua sejak menyarung jersi Al Nassr selepas melakukan kekasaran ala WWE ketika kelabnya tewas 0-2 kepada Al Hilal dalam saingan Liga Pro Saudi awal pagi tadi.

Ronaldo dihukum pengadil Inggeris, Michael Oliver pada minit ke-52 selepas melompat dan merangkul leher pemain tengah Gustavo Cuellar dari belakang sekali gus menjatuhkannya.

Oliver, bekas pengadil Liga Perdana Inggeris yang didatangkan khas untuk mengadili perlawanan tumpuan itu terpaksa bekerja keras di Stadium Al-Hilal.

Dia menghadiahkan dua penalti kepada skuad tuan rumah yang disempurnakan bekas penyerang Manchester United Odion Ighalo.

Oliver turut memberikan penalti kepada Al Nassr tetapi menarik balik keputusannya selepas penilaian VAR.

Kekalahan terbaru itu menjejaskan impian Ronaldo untuk menjuarai liga pada musim pertamanya bersama Al Nassr.

Pendahulu Al-Ittihad kini tiga mata di depan Al Nassr dan beraksi kurang satu perlawanan.

Ronaldo menjaringkan 11 gol dalam 13 perlawanan pertama bersama Al Nassr dan menerima dua kad kuning dengan yang pertama ketika menewaskan Abha 3-1 pada aksi Piala Raja selepas tidak puas hati susulan tindakan pengadil meniupkan wisel ketika dia menguasai bola.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 10:01 AM