ANDERSON  dan pemainnya Wang Kit ketika sidang media hari ini. FOTO Bernama
ANDERSON dan pemainnya Wang Kit ketika sidang media hari ini. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Ketua jurulatih Hong Kong, Joern Andersen mengesahkan masih belum mendapat barisan pemain terbaik untuk berdepan Harimau Malaya pada perlawanan antarabangsa Tier-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Pengendali kelahiran Norway itu berkata, ada beberapa pemain yang masih beraksi di Liga China dan agak sukar mendapat pelepasan daripada kelab mereka namun sekurang-kurangnya 21 pemain yang hadir ke Johor Bahru kali lebih baik berbanding ketika aksi Jun tahun lalu yang dibelenggu dengan masalah Covid-19.

"Pada tahun lalu, akibat Covid-19 kami tidak dapat memanggil pemain beraksi di China tapi untuk kali ini sedikit kelegaan kerana pemain yang kami mahukan boleh turun beraksi tapi masih ada yang tidak dapat menyertai kami akibat masih ada perlawanan liga di China.

"Selain itu, ada beberapa pemain masih mengalami kecederaan yang tidak bersama kami untuk aksi persahabatan dan agak malang selepas pemain pertahanan, Helio José de Souza turut tidak bersama kerana masalah pasport.

"Apapun, kami datang dengan barisan terbaik selepas mengharungi aksi menentang Singapura, Khamis lalu. Walaupun seri 1-1 tapl kami mendominasi perlawanan dan melakukan serangan bertali arus namun pasukan lawan yang mengamal corak permainan bertahan menyukarkan kami menambah jaringan," kata Andersen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 5:57 PM