NAGELSMANN bakal dipecat Bayerk. FOTO Reuters
NAGELSMANN bakal dipecat Bayerk. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Bayern Munich sedia untuk memecat pengurus, Julian Nagelsmann, menurut laporan media Jerman selepas penyandang juara Bundesliga itu bergelut dalam perlumbaan mempertahankan kejuaraan mereka.

Bekas pengendali Chelsea dan Borussia Dortmund, Thomas Tuchel adalah calon pilihan untuk menggantikan Nagelsmann di Bayern jelas akhbar harian Jerman, Bild.

Pemecatan mengejut itu hadir selepas Bayern berada di kedudukan kedua dalam liga, satu mata di belakang seteru utama Borussia Dortmund dan hanya empat mata di depan pencabar mengejut, Union Berlin.

Bayern yang memburu kejuaraan ke-11 berturut-turut Bundesliga mencatat kekalahan 1-2 kepada Bayer Leverkusen Isnin lalu.

Selepas perlawanan itu Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic meluahkan rasa terkilannya dengan persembahan pasukan itu.

"Kami membiarkan diri kami ditakluki oleh pasukan yang bermain pada pertengahan minggu. Itu bukan maksud sebenar menjadi Bayern Munich," katanya.

Walaupun prestasi liga mereka tidak memberangsangkan, Bayern kekal dalam pemburuan dalam liga, serta pertandingan piala domestik dan Eropah.

Mereka mengetepikan gergasi Perancis, Paris Saint-Germain dalam aksi 16 akhir Liga Juara-Juara selepas menang dengan agregat 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 8:45 AM