FERNANDEZ (dua kanan) cemerlang membantu kemenangan Man City. FOTO Reuters
FERNANDEZ (dua kanan) cemerlang membantu kemenangan Man City. FOTO Reuters
Reuters

Leicester: Prestasi Enzo Fernandez akan terus meningkat ketika dia berusaha menyesuaikan diri di Liga Perdana Inggeris (EPL), kata pengurus Chelsea, Graham Potter selepas pemain tengah itu mempamerkan aksi meyakinkan ketika menang 3-1 di Leicester City, awal pagi tadi.

Fernandez, yang menyertai Chelsea dengan bayaran rekod perpindahan British lebih daripada AS$130 juta (RM587.5 juta), bergelut sejak berhijrah.

Namun dalam tiga perlawanan terakhir Chelsea, dia dilihat lebih tenang di bahagian tengah bersama-sama Mateo Kovacic selain membantu Kai Havertz meledak gol, hari ini.

"Dia seorang pemain yang hebat dan masih muda.

"Prestasinya akan bertambah baik jika lebih banyak beraksi kerana dia baru tiba dari negara lain dan liga lain. Jadi anda perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan perkara itu.

"Tetapi anda boleh lihat kualitinya, dia dapat mengawal bola dengan baik dan menghantar ke hadapan. Dia membuat pasukan bergerak dan kemudian memberikan aksi paling terbaik," kata Potter kepada wartawan.

Potter turut memuji pemain yang baharu ditandatangani pada Januari lalu, Mykhailo Mudryk, yang cemerlang ketika pertama kali diturunkan dalam kesebelasan utama sejak 15 Februari lalu.

"Dia mahu membantu dan bekerjasama dengan pasukan. Sangat gembira kerana dia boleh membantu kami menang," katanya.

Potter juga gembira dengan semangat dan kebersamaan yang ditunjukkan oleh barisan pemainnya sekali gus menyeru mereka terus mempamerkan aksi cemerlang apabila melayan kunjungan Everton, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 8:13 AM