PEMAIN KL City FC, Giancarlo Gallifuoco (kanan) berentap dengan tonggak import Kelantan FC, Ismaheel Akinade (kiri) ketika aksi Liga Super di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN KL City FC, Giancarlo Gallifuoco (kanan) berentap dengan tonggak import Kelantan FC, Ismaheel Akinade (kiri) ketika aksi Liga Super di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Gol sendiri KL City FC menghadirkan tuah buat Kelantan FC apabila terikat seri 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV,Kota Bharu, malam tadi.  

Seawal minit ke-10, tuan rumah tersentak dengan jaringan mengejut KL City FC menerusi percubaan jarak dekat Herlison Caion.

Selang seminit, kapten KL City FC, Paulo Josue gagal menggandakan jaringan pelawat hasil percubaan dari dalam petak penalti.

Import Kelantan, Leonardo Rolon turut mensia-siakan gol untuk tuan rumah apabila jaringan tendangan bebas yang diambilnya melambung tinggi.

Pada minit ke-33, anak buah Bojan Hodak menambah derita Sang Kijang apabila Declan Lambert menewaskan penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad. 

Enam minit berselang, hantaran jarak jauh Mario Arques mudah dibaca penjaga gol KL City FC, Azri Ghani yang mendakap kemas bola, sekali gus menafikan gol pertama buat Kelantan. 

Tuah buat Kelantan hadir apabila pemain KL City FC, D Kenny Pallraj membuat kesilapan tertanduk bola ke gawang sendiri minit ke-41.   

Jaringan itu nyata menaikkan semangat anak buah Choi Moonsik dengan membuat beberapa percubaan bahaya. 

Kemasukan pemain, Mohamad Fazrul Amir Md Zaman tidak sia-sia apabila dia bijak menyambut hantaran rakan sepasukan dengan menghadiahkan gol penyamaan pada minit tambahan di separuh masa pertama. 

Memasuki babak kedua, Nik Mohd Amin cemerlang menyelamatkan gawang dibolosi lawan minit ke-62.

Minit ke-74, Kelantan terpaksa bermain dengan sepuluh pemain apabila Mohamad Ikhwan Yazek dibawa keluar padang selepas mengalami kecederaan.  

Keputusan kekal 2-2 hingga wisel penamat menyaksikan Kelantan dan KL City FC berkongsi mata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 10:34 PM