SELANGOR  FC perlu bekerja lebih keras jika mahu mencabar skuad gergasi lain di Liga M.
SELANGOR FC perlu bekerja lebih keras jika mahu mencabar skuad gergasi lain di Liga M.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui belum membariskan kesebelasan terbaik bagi mengharungi saingan Liga Super yang akan bermula hujung bulan ini.

Cheng Hoe berkata, ketika ini beliau memberi tumpuan dalam memperbaiki kelemahan pasukan dan menerapkan corak permainan berkualiti supaya skuad Gergasi Merah berada pada tahap optimum.

Beliau berkata, rata-rata pemain belum mencapai tahap permainan 100 peratus, sekali gus mengakui banyak kerja perlu dilakukan dalam tempoh dua minggu menjelang aksi sepak mula Liga Super.

"Berdasarkan pada beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, pemain perlu kembali kepada corak permainan sudah diterapkan kepada mereka terutama memperbaiki kelemahan seperti sering kehilangan bola hingga memberi kelebihan kepada pihak lawan.

"Penat dan hilang tumpuan bukan alasan kerana mereka akan mengharungi perlawanan lebih hebat pada aksi Liga Super musim ini berdasarkan kepada persiapan rapi dilakukan pasukan lain.

"Oleh itu, perkara utama sekarang ini adalah selesaikan masalah melanda pasukan sebelum membariskan kesebelasan terbaik," katanya.

Sebelum ini, Selangor FC tewas kepada Penang FC 1-2 pada final Piala Harapan 2023 berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, baru-baru ini.

Ia memberi gambaran skuad Gergasi Merah perlu bekerja keras dalam usaha meraih keputusan positif pada saingan Liga Super musim ini.

Perlawanan pembukaan Liga Super menyaksikan Selangor akan melayan kunjungan Kelantan United pada 26 Februari ini di Stadium Bandaraya Petaling Jaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Februari 2023 @ 8:31 PM