PEMAIN Selangor FC, Brendan Gan (tiga kiri) meraikan gol kedua pada perlawanan Liga Super Selangor FC menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi. FOTO ASWADI ALIAS
PEMAIN Selangor FC, Brendan Gan (tiga kiri) meraikan gol kedua pada perlawanan Liga Super Selangor FC menentang PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi. FOTO ASWADI ALIAS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Secara keseluruhan Selangor FC menutup kempen 2023 dengan pencapaian membanggakan sekali gus sebagai penanda aras untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada musim depan.

Pengendali Selangor FC Tan Cheng Hoe berkata, barisan pemain skuad Gergasi Merah sentiasa bekerja keras untuk membuktikan mereka layak berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Malah, hubungan di kalangan pemain juga baik sekali gus membantu membentuk skuad yang mantap dalam usaha meraih kejayaan positif pada musim ini.

"Secara keseluruhan boleh nampak pemain tempatan dan import boleh bergabung dengan baik. Mereka bekerja keras dan komited pada setiap permainan.

"Hubungan baik antara pemain cukup penting untuk membentuk skuad matap kerana itu membantu kejayaan pasukan," katanya.

Terdahulu, Selangor FC membuktikan mereka adalah 'raja'di Lembah Klang selepas menumpaskan PDRM FC 3-1 pada perlawanan terakhir Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Jelas sekali, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang mendapat tonik daripada ribuan penyokong sendiri bermula garang apabila melakukan serangan berbahaya sebaik perlawanan bermula.

Gol tuan rumah dijaringkan Faisal Halim Ayron del Valle dan Richmond Bokye sekali gus memastikan tiga mata milik Selangor FC.

Pasukan pelawat pula hanya menjaringkan satu gol menerusi Fadi Awad yang mudah menyempurnakan hantaran Uche Agba sekali gus menewaskan Khairulazhan Mohd Khalid.

Keputusan itu menyaksikan Selangor FC mengakhiri saingan Liga Super di tangga kedua Liga Super dengan 61 mata manakala PDRM FC pula ditangga kelapan selepas memperoleh 37 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 12:23 PM