KETUA jurulatih TFC, Tomislav Steinbrukner (kiri) bersama pembantunya, Badrol Afzan Razali. FOTO TFC
KETUA jurulatih TFC, Tomislav Steinbrukner (kiri) bersama pembantunya, Badrol Afzan Razali. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Aspek taktikal menjadi fokus utama jurulatih baharu Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbrukner sebelum mengharungi aksi Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirainya pada 24 Februari ini.

Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu, aspek teknikal dan keserasian selain ketajaman jentera serangan turut menjadi agenda utamanya terutama dengan kehadiran ramai muka baharu membarisi skuad kendaliannya musim ini.

Katanya aksi 'pemanas badan' selama seminggu membabitkan empat perlawanan di Thailand bermula 8 Februari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menilai kelemahan dan kekuatan selain bayangan kesebelasan utama pasukannya.

"Saya tahu kehadiran saya ke sini untuk mencapai keputusan yang baik terutama rekod pada musim lalu begitu bagus, semua peminat juga mengharapkan sesuatu yang baik, kini kami bersedia untuk merealisasikan impian itu.

"Latihan dengan intensif tinggi kini ditingkatkan dengan fokus utama berkaitan aspek taktikal, teknikal dan juga keserasian kerana ianya penting sebelum mengharungi aksi sebenar nanti, begitu juga aspek serangan juga menjadi keutamaan kami.

"Kami yakin dan percaya para pemain akan lebih baik terutama selepas mengharungi perlawanan demi perlawanan dalam aksi persahabatan," katanya ketika ditemui di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, kelmarin.

Mengulas lanjut, jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu kini sedang 'mengintai' pemain tengah menyerang bagi memperkasakan lagi jentera berkenaan terutama untuk memburu jaringan.

"Pemain tengah menyerang yang boleh mencipta gerakan yang baik untuk menghasilkan jaringan kini dalam perhatian kami, saya sedar bukan mudah untuk mencarinya terutama dalam kalangan pemain tempatan, tapi kami akan cuba sebaik mungkin dengan tiga nama sudah berada dalam perancangan.

"Hal ini bagi menyelesaikan barisan depan yang masih kurang tajam, lagipun sebagaimana kita tahu barisan penyerang memerlukan idea dan hantaran lebih baik untuk menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 2:52 PM