TOMISLAV Steinbruckner bakal bawa pasukannya ke Thailand dalam aksi persahabatan. FOTO Malik Muhamad
TOMISLAV Steinbruckner bakal bawa pasukannya ke Thailand dalam aksi persahabatan. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Naib juara Liga Super musim lalu, Terengganu FC (TFC) yang dikendalikan semua barisan kejurulatihan baharu bakal 'asah taji' di Thailand pada awal bulan depan.

Ketua jurulatihnya, Tomislav Steinbruckner menjelaskan aksi pemanas badan itu penting untuk menilai kelemahan dan kekuatan pasukan sebelum memasuki 'gelanggang' Liga Malaysia (Liga M) yang bakal membuka tirainya pada akhir Februari 2023.

Jurulatih kelahiran Croatia itu berkata, aspek keserasian juga dititikberatkan memandang ramai pemain import musim ini adalah muka baharu selepas tenaga import musim lalu tidak disambung kontrak.

"Kami merancang untuk 'berkampung' di Thailand dalam aksi persahabatan selama seminggu bermula 7 Februari depan membabitkan empat perlawanan termasuk menentang kelab Liga Divisyen Satu Thailand, Chonburi FC.

"Bagaimanapun sebelum bertandang ke negara Gajah Perang itu, kami sudah mengatur beberapa perlawanan persahabatan tempatan termasuk berdepan Kelantan United FC (KUFC) pada 21 Januari dan ke Lembah Klang pada hujung bulan ini menentang pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Negeri Sembilan FC (NSFC) dan pasukan KL City FC Bawah 23 Tahun (B-23).

"Kita juga akan atur aksi persahabatan di tempat sendiri bagi memastikan terutama pemain import yang baharu dapat membiasakan diri dengan keadaan padang dan suasana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Pada aksi persahabatan itu nanti, saya mahu melihat dan menilai kemampuan dan prestasi setiap pemain, begitu juga dalam aspek kelemahan dan kekuatan pasukan serta keserasian mereka bersama adunan pemain baharu dan sedia ada.

"Jadi sebelum liga bermula, kami akan memilih sekurang-kurangnya 23 pemain terbaik untuk bersama pasukan mengharungi kancah Liga M dan juga Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia)," katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Padang C Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, semalam.

Musim ini TFC menyenaraikan lima tonggak import baharu iaitu Ivan Mamut dan Damagoj Pusic dari Croatia, Sony Norde (Haiti), Adisak Kraisorn (Thailand) dan Surdor Kulmatov (Uzbekistan).

Selain itu naib juara Piala FA musim lalu itu mengekalkan empat pemain import sedia ada iaitu Habib Haroon (Bahrain), Argzim Redzovic (Montenegro), Jordan Mintah (Ghana) dan pemain kebangsaan Filipina, Luke Woodland.

Manakala pemain tempatan pula Steinbruckner atau lebih mesra dipanggil 'Tommy' membawa masuk ramai pemain daripada skuad 'adik' Terengganu FC II (TFC II) selain mengikat pemain pinjaman musim lalu, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:04 PM