SATWANT Singh menyokong kehadiran skuad Projek FAM-MSN. FOTO FB MFL
SATWANT Singh menyokong kehadiran skuad Projek FAM-MSN. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasukan Liga Perdana menganggap kehadiran skuad Projek FAM-MSN pada musim 2021 mampu membuka peluang lebih cerah untuk pemain muda itu menjadi pelapis terbaik pada masa hadapan.

Perkara itu dikongsi oleh rakan kongsi Liga Malaysia (Liga-M) apabila mereka bersetuju dengan usul penyertaan skuad Projek FAM-MSN pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ke-4, Rabu lalu bagi membuat penampilan di pentas Liga Perdana 2021.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Satwant Singh, pemain muda skuad berkenaan pastinya akan menjadi prospek berharga untuk negara pada masa hadapan menerusi pendedahan awal apabila bersaing dengan pasukan yang lebih berpengalaman.

Pelan untuk melahirkan pemain-pemain muda berpotensi sememangnya tidak akan berhasil dalam masa yang singkat, tetapi menerusi platform sebegini, ia satu langkah awal yang cukup tepat untuk mereka yang berada dalam skuad Projek FAM-MSN ini didedahkan dengan pertembungan mencabar dalam saingan Liga Perdana ini.

"Kami wakil daripada Negeri Sembilan menyokong sepenuhnya kehadiran skuad Projek FAM-MSN dan kini menjadikan 11 pasukan yang akan bertanding dalam Liga Perdana.

"Ia adalah langkah yang tepat kerana walaupun kita akan bersaing dengan pasukan yang lebih muda, tetapi itulah yang akan menjadi titik permulaan untuk mereka dalam proses menjadi prospek pemain terbaik masa hadapan.

"Saya nak ucapkan selamat maju jaya kepada mereka kerana merekalah yang akan menjadi masa depan untuk bola sepak negara, dan saya rasa ini adalah platform yang baik terutamanya dalam kita menyediakan skuad Sukan Olimpik pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, Setiausaha Eksekutif Kelantan United, Wan Mohd Zul Ikman juga menyuarakan pendapat sama sambil menyifatkan pasukan-pasukan yang pernah beraksi di pentas Liga Perdana pastinya tidak akan memandang mudah cabaran yang akan ditampilkan oleh skuad Projek FAM-MSN ini.

Tambahnya, dengan pasukan-pasukan Liga-M yang kini berstatus kelab profesional, ia pastinya akan memberi pendedahan lebih berkesan kepada skuad itu dan sebagai pasukan yang lebih senior, Kelantan United tetap menganggap mereka mampu memberi pertembungan sengit di pentas Liga Perdana.

"Kelantan United juga agak teruja dengan adanya skuad projek ini dalam saingan Liga Perdana kerana ia akan membuka ruang lebih cerah kepada pemain pelapis untuk mereka menyerlah.

"Skuad projek ini akan menjadi sesuatu yang berharga dalam tempoh empat tahun apatah lagi mereka beraksi bersama kelab-kelab yang kini lebih profesional pada musim depan, jadi saya percaya kita tidak akan ketandusan pemain berkualiti pada masa hadapan," jelasnya.

Skuad Projek FAM-MSN diumumkan secara rasmi pada minggu lalu di mana skuad bawah 20 tahun itu akan bersaing dalam Liga Perdana 2021 sebagai antara usaha FAM dan Majlis Sukan Negara (MSN) mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 8:35 PM