SHAJI Prabhakaran. FOTO The Hindu
SHAJI Prabhakaran. FOTO The Hindu
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan yang berada di tangga ke 106 dunia iaitu India bakal menyertai saingan Pestabola Merdeka yang dijadual pada September ini.

Walaupun perkara terbabit masih lagi menimbulkan persoalan namun Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) Shaji Prabhakaran baru-baru ini dikhabarkan mengesahkan pasukannya akan menyertai kejohanan terbabit menerusi temubual bersama akhbar tempatan negara itu.

"Ketika kami berada di Malaysia beberapa bulan lalu, sudah dimuktamadkan bahawa India sebahagian daripada pasukan yang menyertai Pestabola Merdeka.

"Namun, agak mengejutkan apabila terdapat berita palsu hingga menimbulkan kekeliruan namun FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mengesahkan India akan menyertai kejohanan itu,"katanya.

Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan India tidak akan disenaraikan untuk menyertai kejohanan terbabit sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong pasukan itu.

Hal ini kerana, dikhabarkan Pestabola Merdeka diadakan semula atas cadangan wakil AIFF memandangkan kejohanan itu mengimbau kembali nostalgia mereka terutama apabila berjaya menduduki tempat kedua pada 1959 dan 1964.

Selain India, kemungkinan pasukan lain yang akan menyertai Pestabola Mederka adalah pasukan Asia Barat yang berada dalam radar antaranya Syria dan Palestin, di mana masing-masing menghuni tangga ke-90 dan 93 dunia dalam ranking (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Manakala dua lagi pasukan serantau yang berada pada kedudukan ranking lebih tinggi daripada skuad Harimau Malaya (145 dunia) iaitu Vietnam (96 dunia) dan Thailand (111 dunia) adalah sasaran badan induk tempatan itu.

Perkara terbabit dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed yang melihat tiga calon pasukan itu mampu menyemarakkan semula saingan Pestabola Merdeka yang kali terakhir dianjurkan pada 2013 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2023 @ 3:06 PM