PENGENDALI sementara Penang FC, Manzoor Azwira. -FOTO NSTP
PENGENDALI sementara Penang FC, Manzoor Azwira. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali sementara Penang FC, Manzoor Azwira tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang pada saingan liga musim 2023 yang akan bermula penghujung Februari depan.

Hal ini kerana, Manzoor mahu bersikap rasional berdasarkan kepada kekuatan Penang selepas hampir melengkapkan senarai pemain yang akan menguatkan cabaran skuad Harimau Kumbang.

Beliau berkata, pihaknya mengharapkan Penang mampu berada dalam kelompok 8 hingga 10 terbaik iaitu sekurang-kurangnya tidak lagi berada di dasar liga seperti mana dilalui sepanjang musim lalu.

"Saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran yang terlalu tinggi dan sukar untuk dicapai kerana pasukan lain juga begitu serius menambah kualiti pemain.

"Apa yang saya boleh katakan, Penang dalam fasa pembentukan semula pasukan dan harap musim 2023, pasukan ini ada kualiti yang lebih baik dari musim 2022.

"Tambahan saya ini bukan jurulatih berpengalaman malah yang sudah lama berkecimpung selaku jurulatih, belum tentu dapat menaikkan semula satu-satu pasukan.

"Jadi, saya harap kerjasama daripada semua pihak untuk membantu naikkan semula Penang serta boleh beri saingan kepada pasukan lain, jika kami boleh capai sesuatu yang di luar jangkaan, itu saya anggap sebagai bonus," katanya.

Musim 2022 menjadi salah satu detik hitam pencapaian Penang apabila menamatkan cabaran Liga Super di tangga terakhir dengan hanya menoktahkan dua kemenangan selain tersingkir awal pada saingan Piala Malaysia.

Hanya kejayaan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA yang mampu dibanggakan Penang sebelum tewas 6-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).

Penang sebelum ini mengumumkan kehadiran pemain-pemain importnya yang terdiri daripada Adriano, Giovane Gomes, Soony Saad, An Sae-hee, Curt Dizon, Ryu Yamaguchi dan Zaw Min Tun selain mengekalkan Rafael Vitor buat musim ketiga berturut-turut.

Bagi pemain tempatan, Penang menyambar Hadin Azman, Faris Shah Mohd Rosli, Rahmat Makasuf, Nik Akif Syahiran, A.Namathevan, Danish Haziq, Azfar Arif, Asnan Ahmad, Marcus Mah selain mendapatkan semula bekas pemain, Azmeer Aris dan Amer Azahar dari Kedah Darul Aman FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 1:19 PM