TAN Cheng Hoe. FOTO Aizuddin Saad
TAN Cheng Hoe. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe masih menilai keperluan pasukan untuk menggunakan sepenuhnya kuota sembilan pemain import atau sebaliknya pada musim ini.

Setakat ini, Selangor mengekalkan Yazan Al-Arab, Hein Tet Aung, Richmond Ankrah, Alex Agyarkwa dan pemain import baharu, Noor Al-Rawabdeh dari Jordan.

Bekas pengendali Harimau Malaya ini tidak menolak kelebihan untuk mendapatkan sembilan pemain import pada musim ini, namun beliau tidak melupakan kudrat pemain tempatan yang tetap akan diperlukan untuk memberi saingan.

Justeru, sama ada sembilan import atau sebaliknya tidak akan menidakkan kemampuan pemain tempatan yang sedia memberi tentangan pada musim ini.

"Sama ada nak menggunakan kuota sembilan pemain import atau tidak sudah tentulah kita kena tengok kepada bajet dan keperluan pasukan juga.

"Kena tengok pada setiap posisi itu adakah diperlukan dan pastinya kalau ada peluang, memang kita mahukan sembilan pemain import.

"Tetapi sebagai jurulatih, sudah tentu saya juga akan fikirkan pemain tempatan yang saya percaya mereka tetap boleh memberi saingan kepada pasukan," katanya.

Cheng Hoe mengambil alih skuad Red Giants pada Oktober lalu dan pasukan itu diletakkan antara pilihan untuk menonjol dalam saingan Liga Malaysia yang bakal membuka tirai hujung Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 5:16 PM