ROWE kembali perkasa Arsenal.
ROWE kembali perkasa Arsenal.
AFP

London: Arsenal menghadapi tugas getir dalam misi memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila berkunjung ke Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi Ahad ini.

Perlawanan lain menyaksikan Manchester United menjadi tuan rumah menentang juara bertahan Manchester City malam esok manakala dua pasukan tercorot Everton kendalian Frank Lampard menerima kehadiran Southampton.

Liverpool pula tahu mereka tidak boleh lagi keciciran mata. Begitu juga dengan skuad Graham Potter yang tewas kepada Fulham awal pagi tadi perlu bangkit jika tak mahu pengurus mereka kehilangan jawatan.

Skuad muda Arteta kini dalam peringkat pertengahan jadual perlawanan yang boleh menentukan nasib mereka untuk menjadi pencabar gelaran liga.

Mereka pastinya mahu kembali meraih kemenangan di tempat lawan selepas terpaksa berkongsi mata dengan Newcastle di tempat sendiri minggu lalu. Manchester United pasukan berikutnya di Emirates dan menentang City bulan depan.

Arsenal yang hanya tewas sekali dalam saingan liga kini lima mata di depan City di puncak EPL ketika berbaki hampir setengah musim lagi.

Tottenham Hotspur mungkin tidak konsisten tetapi merapati kelompok empat teratas dan tidak tewas kepada Arsenal di tempat sendiri dalam saingan liga sejak 2014.

Emile Smith Rowe yang kembali beraksi minggu ini selepas rehat panjang akibat kecederaan percaya Gunners menjadikan kekalahan mereka di Tottenham musim lalu sebagai motivasi untuk aksi 'derby' kali ini.

Arsenal tewas 0-3 di Spurs pada Mei lalu sekali gus gagal merebut tempat keempat dengan Tottenham memintas mereka dalam carta liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 12:17 PM