AKSI antara Malaysia dan Thailand akan bersambung ke Bangkok. FOTO ASWADI ALIAS
AKSI antara Malaysia dan Thailand akan bersambung ke Bangkok. FOTO ASWADI ALIAS
Syafiq Aznan


Bangkok: Tidak sampai 24 jam 'bertarung' di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, skuad Harimau Malaya akhirnya tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, kira kira jam 4 petang waktu tempatan.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu bakal meneruskan 'misi' memburu tiket ke final Piala AFF 2022 berdepan Thailand di Stadium Thammasat, Selasa ini.

Baru sahaja 'dikerah' malam tadi namun pemain skuad kebangsaan tampak berada dalam keadaan yang ceria dan 'mood' pasukan juga berada dalam keadaan terbaik.

Skuad kebangsaan membawa bekalan satu gol menuju ke aksi kedua selepas meraih kemenangan 1-0 ke atas skuad Gajah Perang di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Jaringan Faisal Halim sudah cukup untuk menjadi pemisah buat kedua kedua pasukan sekali gus menyaksikan keputusan seri sudah cukup buat Malaysia meneruskan kemaraan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke final Piala AFF adalah pada 2018 - juga menyingkirkan lawan sama namun menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 2-2 secara agregat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 8:15 PM