Penyerang Perancis, Kylian Mbappe melakukan tendangan ketika sesi latihan dekat Paris. FOTO AFP
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe melakukan tendangan ketika sesi latihan dekat Paris. FOTO AFP
Reuters

Paris: Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Noel Le Graet akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Kylian Mbappe untuk mengingatkannya mengenai kewajipan kontrak selepas penyerang Perancis itu gagal menghadiri program pemasaran ketika tugas antarabangsa.

"Saya memberitahu dia untuk datang dan terbabit dalam operasi melibatkan penajaan," kata Le Graet kepada L'Equipe.

"Ketika itu dia sudah bersedia melakukannya. Kemudian dia berkata: 'Tidak, saya tidak akan pergi.' Apa yang anda akan lakukan?"

Tidak begitu jelas kenapa Mbappe berusia 23 tahun yang beraksi untuk Paris St Germain, tidak mahu mengambil bahagian dalam sesi fotografi dan membabitkan penajaan.

Pihak FFF tidak memberi maklum balas mengenai kenyataan itu.

"Surat daripada peguam akan dihantar kepada pemain itu dan wakil peguamnya," kata Le Graet.

"Kami akan meneliti satu persatu perkara. Kami mahu memperbaiki situasi dan membuatkan orang ramai gembira, begitu juga kedua-duanya penaja dan pemain."

Juara Piala Dunia, Perancis akan berdepan Ivory Coast dalam aksi persahabatan di Marseille esok dan Le Graet berharap dapat membincangkan perkara itu bersama Mbappe yang diberi jaminan tidak akan digantung disebabkan insiden terbabit.

"Semua perkara yang membabitkan penggantung adalah mengganggu pada saya." kata Le Graet.

"Saya tidak suka dengan perkataan itu. Tetapi ia akan membabitkan rundingan dan terdapat beberapa lagi urusan bersama penaja sebelum ke Piala Dunia nanti.

"Saya akan memastikan ia berakhir dan berjalan lancar. Kylian akan berada di padang dekat Marseille dan saya harap dia berada dalam keadaan baik."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 10:05 AM