MBAPPE pernah membantu Perancis muncul juara Piala Dunia 2018 di Russia. FOTO AFP
MBAPPE pernah membantu Perancis muncul juara Piala Dunia 2018 di Russia. FOTO AFP
AFP

PARIS Saint Germain (PSG) mempunyai hak untuk menghalang penyerang, Kylian Mbappe bermain bersama Perancis bagi Sukan Olimpik Tokyo, jelas pengendali skuad negara berkenaan, Didier Deschamps.

“PSG dan begitu juga kelab lain, sudah mempunyai perancangan dan mereka ada hak (menghalang pemain),” kata Deschamps di Amsterdam, ketika menghadiri undian Liga Negara-Negara UEFA.

Komennya hadir selepas akhbar harian sukan Perancis, L’Equipe melaporkan PSG sudah menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) bahawa pemain berusia 21 tahun itu tidak dibenarkan mengambil bahagian di Olimpik.

Semua kelab tidak diwajibkan melepaskan pemain untuk acara bola sepak di Olimpik, di mana ia tidak termasuk dalam tarikh perlawanan antarabangsa FIFA.

Olimpik dijangka bermula pada 24 Julai hingga 9 Ogos namun Liga Perancis akan membuka tirai pada 7 Ogos.

Sementara itu, Mbappe akan menjadi sebahagian daripada skuad Perancis bagi Euro 2020 yang bermula 12 Jun hingga 12 Julai.

“Ia tidak membimbangkan walaupun tidak ada kena mengena dengan saya. Saya bukan jurulatih, Sylvain Ripoll jurulatih sebenar (skuad Olimpik). Ini adalah Sukan Olimpik, di mana ia berlangsung di luar tarikh FIFA dan kelab adalah majikan kepada pemain.

Mbappe dilihat pernah membuat kenyataan di beberapa majlis dia berhajat bermian untuk Perancis di Olimpik dan Presiden FFF, Noel Le Graet awal lagi mengesahkan penyerang itu disenaraikan dalam senarai panjang 80 pemain untuk temasya berkenaan.

Senarai berkenaan akan dikurangkan kepada 50 pemain sebelum ia dipotong menjadi 18 termasuk empat pemain bagi senarai menunggu.

Hanya tiga pemain yang berusia 24 tahun ke atas dibenarkan untuk dimasukkan dalam skuad berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 10:11 AM