FAISAL (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AFP
FAISAL (kanan) meraikan jaringannya. FOTO AFP
Firdaus Hashim


Dari Yangon, Myanmar

Penjaring tunggal negara, Faisal Halim menyifatkan tiga mata yang digenggam dengan menewaskan Myanmar 1-0 dalam aksi sulung Kumpulan B Piala AFF adalah hasil kerjasama berpasukan.

Kata Faisal, meskipun dia berjaya mencetak nama selaku penjaring di minit 52, namun tanpa hasil bantuan rakan sepasukan ia tidak akan menjadi kenyataan.

"Ia syukur Alhamdulillah, bukan saya yang membawa pasukan kita mendapat tiga mata, kita semua pemain yang berusaha sendiri dan akhirnya saya dapat peluang.

"Terima kasih kepada rakan-rakan berjuang sampai minit akhir. Walaupun perlawanan malam ini kita menganggap begitu mudah, tapi sebenarnya sebalik yang berlaku.

"Kedua-dua pasukan bermain dengan sangat tempo tinggi, tapi ini lah bola sepak. Siapa yang dapat menjaringkan gol dia muncul pemenang," katanya yang ditemui sejurus tamat aksi itu di Stadium Thuwunna, di sini, malam tadi.

Ujarnya lagi, Myanmar yang dibimbing Antoine Hey memberi tentangan sengit khususnya 45 minit babak pertama sebelum jurulatih negara Kim Pan-gon mengubah sedikit strategi.

"Kita 45 minit pertama memang sedikit tertekan. Memang kita sebagai pemain pun akui, kita memang tak boleh main babak pertama.

"Separuh masa kedua jurulatih tukar sedikit dan lebihkan tekanan, dan keadaan padang pun dalam keadaan tidak baik sebenarnya. Tapi itu bukan satu alasan, memang kita cuba yang terbaik dan akhirnya itu saja yang kita mampu sebenarnya," kata bekas pemain Terengganu FC itu.

Selepas ini, Malaysia akan meneruskan kempen Kumpulan B dengan menanti kunjungan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 11:20 AM