SHARUL (dua kiri) ketika meraikan jaringan rakan sepasukan. FOTO AP
SHARUL (dua kiri) ketika meraikan jaringan rakan sepasukan. FOTO AP
Firdaus Hashim


Dari Yangon, Myanmar

Tonggak pertahanan tengah negara, Sharul Nazeem Zulpakar akui tidak sedar dan tidak tahu mengapa pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan Myanmar di hujung permainan babak kedua hingga mencetuskan risiko Malaysia kehilangan tiga mata penuh.

Dalam aksi itu, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon berjaya mendahului 1-0 di minit 52 hasil jaringan Faisal Halim, namun debaran lebih dirasai di penghujung saingan apabila pengadil dari Jordan, Ahmad Faisal Mohammad Al Ali memberi sepakan penalti kepada tuan rumah.

Pengadil mendakwa bola terkena tangan Sharul Nazeem atau lebih dikenali dengan panggilan Afro, akan tetapi pertahanan Selangor FC itu menafikan terkena tangannya.

"Pertama sekali saya tak sangka dengan keputusan pengadil yang dia buat, sebab bagi saya mungkin pandangan pengadil itu terkena tangan.

"Tapi bagi saya tak tahulah, sebab saya tak nampak (tak kena tangan) benda itu," katanya ketika ditemui Arena Metro di Stadium Thuwunna di sini sejurus tamat aksi Kumpulan B Piala AFF itu.

Begitupun, dia mengakui berterima kasih kepada penjaga gol negara, Syihan Hazmi yang bertindak cemerlang menafikan sepakan penalti itu.

Malah, pemain yang berasal dari Gombak itu menjelaskan akan segera perbaiki kekurangan sebelum aksi berikutnya menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

"Saya rasa nak berteima kasih juga kepada Syihan kerana menolong menepis bola daripada penyerang Myanmar, jadi saya rasa banyak lagi kelemahan perlu saya perbaiki," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 11:06 AM