SYIHAN pamer aksi cemerlang pada perlawanan malam tadi. FOTO FAM
SYIHAN pamer aksi cemerlang pada perlawanan malam tadi. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Dari Yangon, Myanmar

Aksi penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi termasuk kejayaan menepis sepakan penalti Myanmar di hujung permainan nyata mendapat pujian penyokong tempatan hingga ada yang melabelkannya Syihan Martinez sempena nama penjaga gol Argentina, Emmi Martinez.

Argentina yang baharu menjuarai Piala Dunia selepas menundukkan Perancis menerusi penentuan penalti dengan 4-2 selepas terikat 3-3 dalam 120 minit, menyaksikan Martinez muncul wira dengan menyelamatkan satu sepakan penalti.

Lantas, kecekapan Syihan menghalang tendangan penalti Myat Kaung Khant dalam masa kecederaan membolehkan skuad Harimau Malaya mengekalkan kelebihan 1-0 yang diraih di awal babak kedua menerusi ledakan Faisal Halim, sekali gus menghadiahkan tiga mata pada aksi pertama Kumpulan B Piala AFF.

Malah, ketika ditanya mengenai gayanya yang meraikan kejayaan menghalang sepakan itu seolah mirip Martinez, Syihan akui tindakannya itu berlaku secara spontan kerana terlalu gembira dapat membantu pasukan.

"Gaya 'celebration' saya itu terjadi secara spontan kerana terlalu gembira dengan kemenangan ini yang pastinya menjadi pemangkin buat kami pergi lebih jauh lagi dalam pertandingan ini.

"Terima kasih pada semua yang berikan 100 peratus komitmen kepada pasukan," katanya yang turut diumumkan sebagai pemain terbaik perlawanan sejurus aksi di Stadium Thuwunna itu berakhir, di sini, malam tadi.

Hasil kemenangan itu, Malaysia kini mengumpul tiga mata bersama Vietnam yang turut membawa pulang tiga mata maksimum di bumi Laos selepas membelasah lawannya itu 6-0.

Ujar Syihan lagi, kejayaan menyelamatkan penalti ini adalah rezeki daripada Allah dan dia juga berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang memberikan segala-galanya dalam perlawanan.

"Syihan hanya mampu katakan Alhamdulillah atas rezeki ini. Ini adalah rezeki kami sebagai satu pasukan. Syihan mahu berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan dan semua penyokong yang mendoakan Syihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 10:46 AM