SESI latihan skuad negara di Yangon. -FOTO Firdaus Hashim
SESI latihan skuad negara di Yangon. -FOTO Firdaus Hashim
Oleh Firdaus Hashim


Yangon, Myanmar: Lee Tuck enggan menjadikan faktor usia sebagai halangan untuk dia mempamerkan aksi bertenaga sekiranya diturunkan dalam perlawanan pertama Kumpulan B kempen Piala AFF di Stadium Thuwanna, di sini, malam esok.

Tuck yang berusia 34 tahun berkata, umur hanyalah angka dan ia tidak akan menjejaskan kemahuan mahupun keinginan tinggi seseorang pemain untuk beraksi seperti pemain yang lebih muda.

Jelas tonggak tengah naturalisasi itu lagi, dia sentiasa berusaha untuk meletakkan dirinya di tahap terbaik dan peluang menyarung jersi skuad Harimau Malaya akan digunakan sebaiknya oleh pemain Sri Pahang FC itu.

"Usia hanyalah sekadar angka dan saya sentiasa menjaga diri di dalam dan juga di luar padang. Saya rasa muda sama seperti pemain lain yang turut berada dalam pasukan.

"Tetapi saya perlu bekerja lebih keras bagi mengekalkan kecergasan dan mentaliti juga seperti pemain muda," katanya yang kini berada di Yangon bersama pasukan menjelang aksi sulung berdepan Myanmar nanti.

Untuk rekod, Tuck adalah pemain naturalisasi kelima negara selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Sergio Aguero.

Begitupun pada edisi AFF kali ke-14 itu, pengendali negara kendalian Kim Pan-gon hanya menyenaraikan dua tonggak naturalisasi iaitu dirinya dan Aguero manakala tiga lagi tidak dipanggil kali ini.

Berdasarkan prestasi menakjubkan Tuck dalam dua aksi persahabatan sebelum ini, pemain tengah berasal dari England itu dijangka mengisi kesebelasan utama pasukan bergandingan dengan pemain kacukan Stuart Wilkin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 2:29 PM