TUCK (dua dari kanan) adalah antara wajah baharu yang disenaraikan Pan-gon. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
TUCK (dua dari kanan) adalah antara wajah baharu yang disenaraikan Pan-gon. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Yangon: Gaya permainan bola sepak moden yang diterapkan pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon nyata berjaya dihadam sebaiknya barisan pemain negara menjelang saingan Piala AFF menentang Myanmar di Stadium Thuwanna, di sini, Rabu ini.

Ia diakui tonggak naturalisasi negara, Lee Tuck yang amat menggemari corak permainan menyerang dan dia percaya pasukan kebangsaan memiliki peluang cerah untuk membuka tirai kempen Kumpulan B dengan nota kemenangan.

"Saya selesa dengan corak permainan yang diterapkan iaitu menyerang secara agresif dan ianya menepati cara saya bermain bola sepak. "Saya juga serasi dengan pemain lain dan sangat gembira dengan keadaan ini," katanya yang sudah meledak dua gol dalam dua penampilan buat skuad negara.

Tuck, 34, adalah antara wajah baharu yang disenaraikan Pan-gon bersama seorang lagi penyerang berstatus naturalisasi iaitu Sergio Aguero.

Berdasarkan prestasi semasa ketika membenam Kemboja dan Maldives dalam dua aksi persahabatan sebelum ini, pemain tengah Sri Pahang FC itu dijangka menjadi pilihan Pan-gon untuk mengemudi jentera tengah pasukan.

Ujar Tuck lagi, dia sudah tidak sabar untuk turun membantu Malaysia dalam kempen Piala AFF kali ini.

"Saya sangat berbangga dapat menyarung jersi kuning ini. Perasaan pada masa ini sangat teruja dan saya mahu membantu pasukan dalam apa cara sekalipun dan berharap kami dapat ulangi keputusan dua perlawanan persahabatan sebelum ini," kata pemain kelahiran England itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 4:23 PM