MESSI kini menjaringkan lima gol di Qatar 2022. FOTO AFP
MESSI kini menjaringkan lima gol di Qatar 2022. FOTO AFP
Reuters

Doha: Jika dia masih belum cukup mencipta kisah dongeng, pemain pintar Argentina, Lionel Messi menyimpan skrip paling ajaib untuk aksi pada penampilan terakhirnya di Piala Dunia dan kini, tinggal satu baris saja untuk dilengkapkan.

Pada ketika tekanan hebat dipikulnya untuk menyamai pencapaian mendiang Diego Maradona dan membawa pulang trofi ke Buenos Aires, Messi masih kekal beraksi di Qatar pada ketika pemain bintang lain seperti Neymar dan Cristiano Ronaldo kecundang dan sudah pulang.

Sejak perlawanan pembukaan Argentina menentang Arab Saudi sehingga kemenangan di separuh akhir ke atas Croatia, Messi, yang berada di penghujung karier pada usia 35 tahun dan penampilan kelima di Piala Dunia, kekal sebagai pemain bintang.

Statistik perlawanan menceritakan segala-galanya iaitu enam kali diturunkan, menjaringkan lima gol dan tiga bantuan jaringan untuk ke final menentang Perancis, Ahad ini.

Memecahkan rekod demi rekod, Messi mengatasi jumlah jaringan Maradona di Piala Dunia dan penampilan untuk Argentina dan pada Ahad ini, akan mengatasi rekod Lothar Matthaeus dengan 25 perlawanan di Piala Dunia.

Bagaimanapun, di sebalik data hebat itu, gerakan Messi yang memukau dan gaya meraikan gol menggembirakan menjadi perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia.

Menghabiskan sebahagian besar perlawanan dengan berjalan pantas dan jarang membantu pertahanan, Messi menunggu saat sesuai buatnya yang dibantu susuk tubuh rendah bertukar kepada larian deras dan mengelirukan dengan bola seperti melekat di kaki.

"Dia adalah air gas yang terapung di tepi permainan sehinggalah detik sebenarnya hadir," tulis penulis sukan Britain, Jonathan Wilson.

"Anda boleh mengawal seorang lelaki, tetapi lebih sukar untuk mengawal hantu."

Selepas tewas mengejut kepada Arab Saudi pada perlawanan pembukaan, Messi membimbing pasukan mengecap lima kemenangan berturut-turut.

Jaringan terbaiknya adalah rembatan rendah dari luar kotak penalti ketika menang 2-0 ke atas Mexico.

Ramai masih menggelengkan kepala mengenang hantaran tepatnya kepada Nahuel Molina untuk gol pertama Argentina ketika menentang Belanda di suku akhir.

Apa yang menakjubkan dan calon bantuan gol terbaik sepanjang zaman adalah Messi langsung tidak melihat ke arah Molina, tetapi hantarannya tepat buat pemain itu menyudahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 9:28 PM