AFP

Salwa Beach, Qatar: Romelu Lukaku kembali berlatih semalam menjelang aksi Belgium menentang Maghribi esok selepas tersisih pada perlawanan pembukaan di Piala Dunia susulan kecederaan paha.

Dia beraksi 90 minit hanya sekali musim ini dan penampilan terakhir bersama kelabnya, Inter Milan pada 29 Oktober.

Lukaku terlepas kemenangan Belgium 1-0 ke atas Kanada dalam saingan Kumpulan F tetapi menceriakan penyokong apabila turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan semalam.

Penyerang berusia 29 tahun itu turut berlatih dalam dewan kelmarin, menurut Kevin De Bruyne.

Michy Batshuayi yang beraksi di bahagian serangan menjaringkan gol tunggal ketika menentang Kanada Rabu lalu dan De Bruyne berkata, kehadiran semula Lukaku mampu meningkatkan ketajaman pasukan.

"Kembalinya Romelu tidak akan mengubah cara kami bermain tetapi sudah tentu dia penyerang hebat," kata De Bruyne sebelum latihan semalam.

"Romelu tidak beraksi sekian lama tetapi jika dia hanya bermain tujuh minit sudah cukup meresahkan lawan. Dia memberikan kami lebih pilihan."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 11:16 AM