RATA-rata memilih Belgium berikutan corak permainan memukau selain mempunyai barisan pemain hebat. FOTO EPA
RATA-rata memilih Belgium berikutan corak permainan memukau selain mempunyai barisan pemain hebat. FOTO EPA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Portugal sudah 'terciduk', kini pilihan atlet negara sudah berubah apabila rata-rata daripada mereka memilih Belgium menjulang kejuaraan Euro 2020.

Terdahulu, Portugal boleh dikatakan menjadi kegilaan gadis termasuk atlet wanita negara berikutan terdapat idola mereka iaitu Christiano Ronaldo sebelum pasukan itu tersingkir 0-1 kepada Belgium di pusingan kedua.

Rata-rata memilih Belgium berikutan corak permainan memukau selain mempunyai barisan pemain hebat seperti penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku, Eden Hazard (Real Madrid) dan tonggak Manchester City, Kevin de Bruyne sekali gus berpeluang cerah menempah tiket ke peringkat akhir kelak.

Antara yang memilih skuad kendalian Roberto Martinez adalah atlet terjun wanita negara, Leong Mun Yee.

"Untuk Euro 2020 tahun ini saya lebih memilih Belgium…Go Belgium," kata atlet yang berjaya meraih 17 emas di temasya dwitahunan, Sukan Sea.

Sementara itu, pemain futsal kebangsaan, Shazreen Munazli juga senada dengan Mun Yee yang menyukai corak permainan ditampilkan Lukaku dan de Bruyne.

"Sempena Euro 2020 saya memilih Belgium kerana ada Lukaku dan De Bruyne," katanya.

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin pula memilih Sepanyol menjuarai Euro 2020 berikutan taktikal yang ditampilkan pasukan terbabit cukup berbeza berbanding sebelum ini.

"Banyak pasukan kuat sudah tersingkir seperti Perancis dan Portugal yang ada England, Sepanyol. Saya lebih memilih Sepanyol kerana sebelum ini saya pun pakai baju Sepanyol selipar Sepanyol,'' katanya.

Di peringkat suku akhir, Belgium bakal membuat perhitungan dengan Itali di Allianz Arena di Munich, Jerman sementara Switzerland akan turun menentang Sepanyol di Stadium St Petersburg, Russia, awal pagi esok.

Manakala dua lagi aksi pagi Ahad membabitkan pertemuan antara England dan Ukraine serta Republik Czech bertemu Denmark dengan venue masing-masing di Stadium Olimpik, Rom, Itali dan Stadium Olimpik Baku, Azerbaijan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 2:04 PM