ARIF tak dapat bantu skuad negara dalam dua aksi persahabatan antarabangsa.
ARIF tak dapat bantu skuad negara dalam dua aksi persahabatan antarabangsa.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sabah FC dilihat mendapat 'kemenangan pertama' menjelang aksi Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Ia selepas skuad Harimau Selatan itu mengesahkan kemungkinan kehilangan khidmat dua pemain sensasi mereka, Arif Aiman ​​Hanapi dan Endrick Dos Santos yang disahkan masih belum cergas sepenuhnya.

Perkara itu dinyatakan pengendali JDT, Esteban Solari di laman sosial Facebook JDT hari ini.

"Arif Aiman ​​Hanapi dan Endrick Dos Santos juga tidak 100% cergas dan masih menjalani pemulihan dan latihan ringan.

"Kami berharap pemain-pemain ini kembali cergas sepenuhnya untuk perlawanan menentang Sabah dan perlawanan akan datang," katanya yang turut mengesahkan khidmat penyerang berbisa, Bergson Da Silva juga terpaksa diketepikan ekoran kecederaan belakang.

Pertembungan dengan Sabah FC dianggap sebagai aksi tumpuan minggu ini di mana kedua-dua pasukan itu menghuni dua tangga teratas Liga Super ketika ini, dengan JDT berkelebihan dua mata di depan dengan 15 mata.

Sabah FC yang dibimbing bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee pula di tangga kedua dengan 13 mata selepas lima aksi.

Kemenangan ke atas lawan bakal mengukuhkan kedudukan JDT di puncak liga, manakala kejayaan membawa pulang tiga mata ke Kota Kinabalu pula menyaksikan skuad The Rhinos berpeluang memintas anak buah Solari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 10:31 PM