AKSI antara JDT dan Sabah malam tadi. FOTO AISYAH MAZELAN
AKSI antara JDT dan Sabah malam tadi. FOTO AISYAH MAZELAN
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) melebarkan kemenangan kali keenam berturut-turut dan kekal di tangga teratas liga selepas mudah membelasah Sabah FC 4-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari memadamkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang pada awalnya mahu 'memalukan' skuad Harimau Selatan di stadium keramat Harimau Selatan tapi ianya meleset sebaliknya pulang dengan tangan kosong.

Agak menarik pada pertembungan itu apabila berlaku 'keajaiban' selepas Arif Aiman Hanapi dan Endrick Dos Santos yang dikatakan mengalami kecederaan yang memaksa skuad Harimau Malaya melepaskan kedua-dua pemain daripada menjalani kem latihan pusat pasukan kebangsaan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang skuad Badak.

Bagaimanapun, mengenali JDT yang memiliki fasiliti yang serba canggih dan moden sudah semestinya proses pemulihan Arif Aiman yang mengalami kecederaan di pangkal paha dan Dos Santos kecederaan di buku lali pulih dengan pantas menerusi program rehabilitasi yang dipantau oleh pakar perubatan pasukan itu.

Ternyata kelibat kedua-dua pemain itu memberi impak buat skuad Harimau Selatan yang bertindak mengasak ke kubu Sabah FC di awal permainan apabila Arif Aiman cuba melakukan tekanan terhadap benteng lawan manakala Dos Santos menggerakkan jentera tengah.

Kelibat Arif Aiman dalam kesebelasan utama tidak sia-sia berpunca daripada bola umpanan Fernando Forestieri pada minit ke-20 menyaksikan pemain lincah sayap kanan JDT itu bertindak menggelecek Rizal Ghazali sebelum merembat bola kencang menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat untuk meletak tuan rumah mendahului 1-0.

Penguasaan JDT dalam perlawanan itu begitu ketara apabila menjelmakan gol kedua pada minit ke-39 selepas bola umpanan Diogo Luis Santo tepat kepada Juan Muniz yang melakukan rembatan lencong pada jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gol menewaskan Khairul Fahmi.

Ketinggalan 0-2 pada perlawanan itu, Sabah FC ibarat hilang punca untuk menyusun kebangkitan bagi memburu gol malah kelibat Darren Lok dalam pasukan itu sekadar penumpang apabila gagal berfungsi selaku penyerang skuad Badak sepanjang babak pertama.

Bersambung babak kedua, corak permainan kedua-dua pasukan tampak berintensiti tinggi apabila masing-masing kerap beri tekanan di posisi tengah malah ada ketika bermain secara agresif.

Skuad Badak mula mengatur gerakan dalam usaha merapatkan jurang gol sering dikecewakan oleh kekentalan benteng JDT yang diketuai kapten Jordi Amat bergandingan mantap bersama Feroz Baharudin.

Ketika aksi berbaki sembilan minit untuk ditamatkan gerakan menarik daripada Arif Aiman bertindak melorongkan bola kepada pemain gantian, Syahmi Safari yang meledakkan rembatan kencang tepat ke penjuru kanan menewaskan Khairul Fahmi.

Malah skuad Harimau Selatan terus mengganas apabila mencipta gol keempat pada minit ke-89 selepas pemain gantian, Corbin Ong melorongkan bola buat Forestieri yang akhirnya menjaringkan gol buat dirinya sekali gus memastikan kemenangan bergaya 4-0 memihak JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:06 AM