AKSI Gonzalez menjaringkan gol kedua KDA FC. FOTO Bernama
AKSI Gonzalez menjaringkan gol kedua KDA FC. FOTO Bernama
Izzali Ismail


Alor Setar: Keazaman tinggi semua pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang bertekad meneruskan rentak kemenangan antara faktor skuad Sang Kenari membenam Selangor 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi.

Dua gol pendahuluan oleh Ronald Ngah dan Marc Valez ternyata meningkatkan keyakinan pemain KDA walaupun dibolosi jaringan Herlison Caion, namun mereka melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga oleh pemain gantian Fayadh Zulkifli di hujung permainan.

Pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak, sudah menduga skuadnya bakal ditentang hebat oleh Selangor yang menunjukkan kebangkitan selepas mengikat Johor Darul Ta'zim 1-1 dan menewaskan Sabah FC 3-2 sebelum ini.

"Saya bangga kerana pemain menunjukkan tahap permainan yang baik pada malam ini (semalam), dengan permulaan dua gol yang dihasilkan di babak pertama dan saya rasa itu tidak mudah dilakukan ketika berdepan pertahanan Selangor.

NAZMIZAN (kanan) gesa peruntukan perlu lebih banyak dilaburkan dalam sukan olahraga.
NAZMIZAN (kanan) gesa peruntukan perlu lebih banyak dilaburkan dalam sukan olahraga.

"Pemain Kedah menunjukkan keazaman tinggi untuk mendapatkan kemenangan di laman sendiri dan secara keseluruhan saya rasa kami layak untuk menang pada perlawanan ini dan ia perlawanan yang baik untuk kedua-dua pasukan serta juga penyokong yang hadir memberi sokongan.

Aidil juga berkata kehadiran lengkap pemain import yang beraksi dalam kesebelasan utama juga membantu dalam mencapai misi memburu kemenangan.

"Kehadiran semula Marc Vales bersama pemain import sedia ada bersama pasukan dalam beberapa perlawanan lalu jelas memberi impak yang diharapkan.

Susulan kemenangan itu, Kedah kini kembali berada di tangga kelima dengan menghimpun 27 mata dan memiliki masa dua minggu untuk proses pemulihan dan mengembalikan kecergasan sebelum menyambung aksi berdepan PJ City di laman sendiri.

Sementara itu, jurulatih interim Selangor FC, Nidzam Jamil meluahkan rasa kecewa diatas faktor beberapa penyudah yang gagal disempurnakan Red Giants.

Impian mengutip sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan umpama tonik berharga bagi membuktikan Selangor FC yang sudah bangkit kembali dengan aksi sebenar melalui satu keputusan seri 1-1 ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini dan satu kemenangan 3-2 keatas Sabah FC Sabtu lalu.

Nidzam berkata, skuadnya berjaya menekan KDA FC dan membina beberapa peluang yang boleh menghasilkan gol bagi mengukuhkan kedudukan pada perlawanan yang sengit ini.

"Jika kami dapat menyempurnakan semua peluang yang hadir itu, keputusan pasti akan berbeza pada malam ini (semalam) namun bola sepak adalah berdasarkan pada keputusan penuh perlawanan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 1:14 PM