SYAZWAN fokus ketika sesi latihan. FOTO FB KDA FC
SYAZWAN fokus ketika sesi latihan. FOTO FB KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syazwan Zainon berharap penyokong terus memberi sokongan untuk skuad Hijau Kuning dalam misi memburu kemenangan sulung apabila turun menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman, esok.

Pemain licik serta berpengalaman berusia 31 tahun itu melaungkan kata semangat berkenaan dalam usaha untuk Kedah bangkit semula memburu kemenangan selepas tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Piala Sumbangsih, Jumaat lalu.

"Rebah tidak semestinya kalah, berdiri tidak semestinya menang, semangat tetap membara, berjuang untuk lencana di dada. Teruskan menyokong kami, pasukan KDA FC," katanya.

Syazwan sebelum ini juga meluahkan hasratnya untuk mencuba sehabis baik dalam usaha membantu KDA FC pada musim ini.

Sementara itu persiapan skuad Hijau Kuning kembali bermula semalam dengan semua pemain dilihat bersemangat untuk meningkatkan persefahaman dan prestasi masing-masing menjelang pertemuan dengan Sabah FC.

Media KDA FC juga menerusi laman rasminya menyatakan skuad kendalian ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak sudah kembali memulakan latihan semalam di Alor Setar.

"Pemain simpanan menjalani latihan penuh petang ini sementara pemain utama menjalani proses pemulihan bagi persediaan aksi seterusnya Selasa ini menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 2:29 PM