SUMAREH dikecam hebat gara-gara persembahan hambar ketika Harimau Malaya menentang Tajikistan, malam tadi. FOTO FB FAM
SUMAREH dikecam hebat gara-gara persembahan hambar ketika Harimau Malaya menentang Tajikistan, malam tadi. FOTO FB FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: "Ramai tidak menyedari sebenarnya Harimau Malaya hanya beraksi seperti 10 pemain saja ketika menentang Tajikistan di final Piala Raja Thai 2022 di Stadium Chiang Mai, malam tadi."

Situasi terbabit dinyatakan jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah yang melihat kehadiran pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya tidak membantu, malah hampir menjerat pasukan kebangsaan sepanjang aksi separuh masa pertama.

Azraai berkata, prestasi dipamerkan Sumareh atau turut dikenal sebagai 'keli boy' pada perlawanan itu dilihat menjawab persoalan bahawa skuad kebangsaan tidak lagi memerlukan pemain berstatus naturalisasi pada masa akan datang.

Ini kerana, katanya, Sumareh tidak banyak membantu dalam merencanakan serangan ke kubu lawan selain banyak kehilangan bola dan terjahan berbahaya sehingga berisiko dibuang padang.

"Sumareh tak ada fungsi langsung sehingga kita lihat Harimau Malaya semalam seperti bermain 10 pemain saja seterusnya sukar untuk menjaringkan gol.

"Kita boleh lihat bagaimana dia melakukan terjahan. Selain boleh menyebabkan dia dilayangkan kad kuning kedua, kemungkinan pemain lawan itu boleh cedera teruk.

"Tindak-tanduknya kurang cerdik dan tak layak duduk dalam pasukan kebangsaan kerana beraksi untuk skuad Harimau Malaya memerlukan mentaliti bagus dan bijak membuat keputusan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, perlawanan berlangsung di Stadium Chiang Mai dalam keadaan hujan lebat itu menyaksikan Harimau Malaya tewas dalam penentuan sepakan penalti 0-3, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan apabila tamat 90 minit permainan.

Lebih mencuri tumpuan adalah aksi Sumareh hampir saja dibuang padang selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap pemain lawan iaitu Ehsoni Panshanbe pada hujung babak pertama, ketika dia sudah dilayangkan kad kuning sebelumnya.

Malah, Sumareh yang juga pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) gagal memanfaatkan peluang diberikan jurulatih Kim Pan-gon selepas menyenaraikannya dalam kesebelasan utama pasukan.

Dia turut dikritik hebat oleh penyokong bola sepak tanah air yang meminta dia memulangkan kembali kad pengenalan jika tidak boleh beraksi sepenuh hati untuk skuad kebangsaan.

"Baik pulangkan saja IC (kad pengenalan) kalau main serupa bukan pemain profesional," tulis zissaarah di Facebook Harian Metro.

"Kene check DNA Sumareh sama ade beliau lahir di Gambia @ Thailand..Harini byk sungguh skil muay thai ditunjukkan oleh beliau," tulis Pien Akatsuki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 6:26 PM