REAKSI Hodak pada perlawanan Liga Super Malaysia, Kuala Lumpur City FC antara Sarawak United FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. FOTO Aizuddin Saad
REAKSI Hodak pada perlawanan Liga Super Malaysia, Kuala Lumpur City FC antara Sarawak United FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur City FC (KL City), Bojan Hodak tidak menyalahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semata-mata, tetapi hanya menunding jari kepada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Katanya, beliau kecewa jurulatih daripada Korea Selatan itu seolah tidak menghormatinya apabila tetap menyenaraikan dua pemain KL City, meskipun pasukannya sedang sibuk membuat persiapan terakhir untuk final Piala AFC Antara Zon, Rabu depan.

"Ini adalah disebabkan seorang individu, ini adalah antara jurulatih, beliau (Pan-gon) tidak menghormati saya jadi sudah tentu saya kecewa.

"Kami minta pelepasan untuk mereka kerana kami sedang buat persediaan untuk perlawanan paling penting kelab ini, tetapi beliau bawa dua pemain kami untuk bercuti," katanya pada sidang media sejurus tamat aksi Liga Super dengan Sarawak United malam tadi.

Dalam aksi itu, skuad The City Boys meraih kemenangan besar apabila membenam Sarawak United dengan 5-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sekaligus memberi tonik tambahan menjelang aksi final di pentas AFC dengan berdepan kelab Uzbekistan, FC Sogdiana Jizzakh di sana nanti.

Sebelum ini, Hodak dikatakan berang apabila dua pemainnya iaitu Zhafri Yahya dan Declan Lambert tidak digunakan dalam dua aksi Piala Raja Thai, di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.

Daripada dua pemain itu, Pan-gon hanya menurunkan Declan ketika menentang Thailand sebagai pemain gantian di hujung babak kedua, manakala Zhafri tidak diturunkan langsung.

Mengulas aksi dengan Sarawak United pula, Hodak mengakui kemenangan besar itu disebabkan kejayaan penyerang menyudahkan peluang yang ada.

Justeru, beliau menuntut pemain tampil berbisa apabila beraksi di Uzbekistan nanti dan akan memperbaiki kekurangan yang ada sebelum aksi final itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 5:13 PM