MUHAMMAD Safwan (kiri) idam tamatkan kemarau 12 tahun merangkul pingat emas acara bola sepak Sukma. FOTO MUHAMMAD SAFWAN MAZLAN
MUHAMMAD Safwan (kiri) idam tamatkan kemarau 12 tahun merangkul pingat emas acara bola sepak Sukma. FOTO MUHAMMAD SAFWAN MAZLAN
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Terengganu, Muhammad Safwan Mazlan tekad untuk menamatkan kemarau 12 tahun merangkul 'ibu segala pingat' di Sukan Malaysia (Sukma) 2022, apabila berdepan Pulau Pinang di final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Pemain Terengganu FC II (TFC II) berusia 20 tahun itu tidak mahu terlepas peluang untuk memburu pingat emas peribadi pertama pada penampilan sulungnya dalam temasya itu.

Bek kiri skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara itu sedar bukan mudah untuk menjinakkan Pulau Pinang yang dibimbing bekas penyerang sensasi kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu.

Namun pemain kelahiran Batu Rakit, Kuala Nerus itu tidak mahu impiannya merangkul kejuaraan disekat lawan, selain percaya jurulatih, Badrul Afzan Razali dan pembantunya, Roshadi Wahab mempunyai 'ramuan' tersendiri lebih-lebih lagi hanya selangkah sahaja lagi untuk bergelar juara.

"Kejayaan melangkah ke pentas final Sukma ini adalah sejarah buat saya, lebih-lebih lagi ia adalah penampilan pertama dalam temasya sukan terbesar dalam negara.

"Jadi sudah pasti impian kami adalah memburu gelaran, sekali gus menamatkan penantian selepas kali terakhir dimenangi emas di Sukma ke-13 di Melaka pada 2010.

"Justeru saya ingatkan diri dan rakan sepasukan agar beraksi sebagai satu pasukan secara bermati-matian dalam misi menamatkan kemarau 12 tahun itu," katanya yang sudah menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan itu.

Pada aksi final Sukma 2010, Terengganu yang ketika itu dibimbing Khalid Mohd Dahan merangkul pingat emas selepas menumpaskan Selangor 1-0 hasil jaringan Rosli Muda, sekali gus mencipta hatrik merangkul kejuaraan tiga edisi berturut-turut bermula edisi ke-11 pada 2006 di Kedah dan Terengganu 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 5:52 PM